Favorite Past Time

...i'm a happy loner...


Aku tersesat
Menuju hatimu
Beri aku jalan yang indah
Ijinkan ku lepas penatku
‘tuk sejenak lelap di bahumu
Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya
Tentang cinta yang datang perlahan
Membuatku takut kehilangan
Ku titipkan cahaya terang
Tak padam di dera goda dan masa

tentang rasa-Astrid

p/s: i hate when times i all of sudden thinking of u. missing u so badly. i feel week & too worried. yeah being alone is great but yet i realized i'm not too strong without u around. sorry for being too sensitive. sorry for tears.


...rindu arwah...

it's been 6 years u gone sweetheart. we miss u a lot. may u rest in peace Nurul Shafinaz Sepuan. Al-Fatihah :')
people said that everything happens for a reason. alhamdulillah so far i can see the reason why.

-a year after arwah pegi,alhamdulillah aku mula brtudung. Mak pun.
-Bapak dah smakin lebih caring towards us.
-and yet,family dah mula brbaik. syukur Allah.

p/s: undir Rahidzi!


...part 12 peperangan cinta...

Que sera sera. Whatever will be will be. Future not ours to see...

Darwina tersenyum dengan bait-bait lagu itu. Setelah pahit manis kehidupan yang dilaluinya, dia bahagia bersama suami tercinta, Mahfuz Fikri Datuk Hisyam. Benar kata pepatah, setiap permulaan kehidupan selalunya susah. Sabarlah. Senyumlah. Allah tidak akan menduga umatnya lebih dari kemampuan dia sendiri. Dan benar lagi kata orang, setiap manusia Allah akan beri kebahagiaannya sendiri. Ia mungkin lambat atau cepat tapi ia akan ada. Itu janji Allah S.W.T. Kita mungkin tak akan dapat apa yang kita mahu, tapi Allah akan berikan apa yang kita perlu. Seperti sekarang, Darwina sedar Mahfuz lah lelaki yang dia perlu untuk menjalani hari-hari tua nya nanti. Jika Mahfuz menjanjikan setia, akan dia janjikan bahagia.

Darwina mengusap-usap perutnya yang membulat. Rezeki dari Allah.

"Abang... Kita tak pernah tahu apa yang bakal berlaku. Abang, jika ditakdirkan Wina pergi dulu, jaga dan sayang anak kita sepertimana abang sayangkan Wina. Janji abang!" Darwina menggenggam tangan Mahfuz. Mata galaknya tepat memandang wajah Mahfuz.

"Wina!"

"Abang... Janji! Kadang-kadang ibu yang melahirkan boleh mati bang,"

"No! Masa Wina bersama abang masih panjang. Jangan cakap benda bodoh Wina." Mahfuz mengusap pipi Darwina. Lembut.

"Mati bukan benda bodoh bang. Ia nyata." Darwina menekan suaranya.

"Biarlah Allah ambil apa saja milik abang. Asalkan Darwina selamat di sisi abang. Allah lebih tahu kemampuan abang Wina..." Darwina sudah di dakapan Mahfuz.

"Wina bersyukur bang. Apa yang berlaku dalam hidup Wina. Semuanya ada kerana..."

"Ya... Kerana Hakim... Kerana pemergian arwah Kak Long. Khaleeda, Faris dan semuanya! Kesedihan kita dulu Allah telah menjanjikan kebahagiaan sekarang sayang. Alhamdulillah." Titi-titik mutiara jatuh di pipi Darwina. Mahfuz mengusapnya.

"Maafkan keegoan abang dulu Wina. Abang pengecut. Abang lambat bertindak sehingga semuanya jadi teruk."

"Bang, buat apa nak kesalkan benda dah jadi. Wina syukur bang. Jika tidak kerana perbuatan Khaleeda, barangkali Wina tak akan menghargai abang sehebat ini."
***
"Sudah lapan cm," kata jururawat Cina berwajah manis itu sambil menanggalkan sarung tangan getah putih krim yang disaluti darah.

"Bagus," tambahnya lagi." Sekejap lagi 10cm. Doktor sampai, ok?"

Darwina mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Apa-apa sahajalah, bisik hatinya, tidak tertahan lagi rasanya berperang dengan kesakitan. Semenjak terbaring dari jam 3.30 pagi di atas katil di dalam bilik yang sungguh sejuk itu, Mahfuz setia disisinya. Jelas tergambar kerisauan diwajahnya. Darwina merasa perutnya memulas-mulas.

"Tinggi juga contraction kamu," ujar jururawat lain, Melayu, datang memantau keadaan Darwina. "Sakit?" tanyanya penuh belas. Darwina angguk, lalu melelapkan mata. Dalam dunianya gelap berputar-putar, Darwina bayangkan penderitaan ini sudah pun berakhir dengan mudah. Pada mata yang terpejam, Darwina teringatkan mamanya. Beginikah kesakitannya yang harus dibayar oleh seorang ibu sebelum zuriatnya diterankan daripada rahimnya yang dialiri darah?

Pandangan Darwina berkabut-kabut sewaktu Dr Yusuf berdiri di depannya dengan wajah manis, lengkap berbaju plastik, berbut tinggi, bersarung tangan. "Ok, sudah masanya, Darwina. Tarik nafas..." Dua jururawat Cina di kiri dan kanannya tidak henti-henti memujuk memberi semangat, tidak ubah seperti gadis pom-pom yang menjerit-jerit bersorak-sorak di tepi padang bola. Suara mereka kuat, tetapi telinga Darwina jadi tepu. Tangannya sejuk. Perutnya memulas-mulas, dan Dr Yusuf menyuruh Darwina meneran lagi, "This is not good. Heart beat baby sudah turun." Darwina dapat rasakan kepala bayi sudah sampai ke pintu luar rahim, dan kata Mahfuz di sisi, rambutnya sudah pun terlihat, "Sikit lagi, sikit lagi." Tetapi Darwina sudah terlalu penat.

Bayi yang berlumuran darah dicampakkan ke dada Darwina, Darwina rasa sebak. Inilah kesusahan, ketidakselesaan dan kesakitan yang dia bawa dan tanggung selama sembilan bulan lamanya. Tetapi jika inilah anugerah Allah, kesusahan itu memang berbaloi. Inilah satu-satunya pengalaman yang tidak bisa dijual atau dibeli, tak mungkin dapat dikisahkan dengan seinci-incinya, setepat-tepatnya. Kerana kesakitan, kesengsaraan, ketakutan, kebahagiaan dan nurani yang akur dengan takdir Allah, bercantum-cantum menjadi nikmat hidup yang tidak terbanding.

"Penat?" Darwina masih berpinar-pinar bilamasa Mahfuz duduk di sisinya. Darwina hanya mampu mengangguk perlahan. Mahfuz membantunya duduk.

"Kenapa tak bagitahu abang that we gonna have this two awesome princess?"


"A surprise!" Darwina tersenyum.

"Nakal." Mahfuz mencium dahi isterinya. "Nur Darwina Haji Hisyam, thank you sayang sebab sudi mengandungkan zuriat-zuriat abang."

Di dalam hati Mahfuz dan Darwina berkali-kali mengucap syukur dengan anugerah Allah yang tidak ternilai ini. Untuk masa-masa akan datang, Darwina tidak menjanjikan selamanya. Tapi dia berjanji akan menyayangi Mahfuz setiap hari. Mahfuz tersenyum. Dengan kehadiran dua cahaya matanya, hatinya cukup senang sekali.

-TAMAT-
Takdir buat kita.

...part 11 ternyata cinta...

Sudah beberapa malam kamar tamu Darwina hijau sahaja. Dua malam kelmarin, selepas Frank Lampard dan David Beckham datang ke ruang tamu rumahnya, malam berikutnya pula Juan Sorin dan Juan Riquelme membuat jantung Darwina tersentak-sentak kerana suara lelaki-lelaki di dalam rumahnya bergemuruh bergaung bak guntur. Dan setakat ini, sewaktu Darwina sedang menaip-naip sesuatu di komputer ribanya, dia tahu berjuta-juta lelaki seluruh dunia sungguh teruja dan tidak sabar lagi mahu melihat Roberto Carlos dan Ronaldinho bersamba di tengah-tengah padang. Darwina terleka dengan dunianya sendiri ketika manusia terlekat terpaku di hadapan televisyen. Darwina suka bercampur geli hati melihat gelagat orang lelaki resah-gelisah tak keruan. Duduk tak kena, bersandar tak sedap, berdiri tak dapat tetapi melompat tergelinjang suka. Darwina tahu perempuan yang kaki bola pun boleh tahan ramai juga. Mira dan Anis, selamat berpesta bolalah kamu adanya. Darwina tersenyum sendiri.

"Abang rasa ini baby girl. Sebab Wina masih tak sukakan bola," kata suami bila terkerlingkan Darwina bermuka tawar memandang televisyen.

"Bang," Darwina pandang matanya tepat-tepat. "Abang letak Brad Pit berjoget tengah padang bola pun Wina tetap tak suka bola."

Dan hai... Alamat satu bulan lebihlah nampaknya Darwina makan hati memandang televisyen yang hijau dari pangkal malam melarut-larut hingga ke pagi.

Darwina mencapai sebuah album lama di almari terbiar milik Mahfuz. Terus dia melabuhkan punggung di kerusi. Mahfuz memeluknya dari belakang. Banyak gambar-gambar Mahfuz ketika kecil di dalam album tersebut. Darwina tersenyum sikit.

"Cute la abang time kecik," Darwina tersenyum memandang suaminya.

"Then sekarang tak cute lagi?"

"Tak tapi handsome sangat!"

"Oh itu yang buat terpikat kan?" Mahfuz mencuit hidung isterinya. Darwina terleka dengan satu gambar. Seorang wanita. Manis. Darwina ingat wajah itu. Dia memandang Mafuz.

"Kak Long... Abang tau apa yang Wina tengah fikirkan. Thank you sayang sebab ada di sisi Kak Long saat-saat akhir dia. Thank you jugak sebab beranikan diri menarik keluar Kak Long dari keretanya. Kalau tak,Wallahualam. Kami akan jumpa mayatnya yang rentung saja." Suara Mahfuz kedengaran sayu saja.

"Kak Long sayang abang." Darwina memandang wajah Mahfuz tepat.

"Maksud?"

"Percaya atau tidak, itu pesanan terakhir arwah sampaikan pada Wina. Dan sekarang Wina akan teruskan usaha menepati janji Wina pada arwah Kak Long. Arwah minta Wina jaga abang." Darwina menggenggam tangan  Mahfuz.

"Subhanallah kuasa Allah." Mahfuz tunduk. "Abang ada di sisi Wina ketika Wina pengsan dulu lepas accident tu. Tapi Wina tak tahu."

"Manalah orang nak tahu. Dah nama pun pengsan."

"Yeah I'm by your side sepanjang kedewasaan Wina." Mahfuz tersengih seperti kerang busuk. Dia lantas bangkit mengambil komputer riba miliknya. Dia menunjukkan beberapa emel pada kotak sent item.


"Oh abang la orang tu... Secret admire Wina yang menjengkelkan zaman universiti dulu." Darwina mencebik.

"Ceh... Mengata suami sendiri." Mahfuz mencapai satu buku di rak.

"If you still remember this too sayang." Mahfuz menunjukkan sebuah buku undang-undang politik.

"Hey! Takkan lah." Darwina menepik lengan Mahfuz. Dia mati kata dengan kuasa Allah sebegini untuk dia dan Mahfuz.

"I have fall for you long time ago sayang. Since first time i have met you. Tapi dulu Wina sombong mana nak kat abang. Asyik dengan mamat Hakim tu..."Mahfuz mencebik.

"Amboi sampai sedalam tu abang tau."

"Yasmin..." Jawab Mahfuz selamba.

"Jangan cakap Yasmin tu cousin abang pulak." Mahfuz mengangguk perlahan. Darwina terlopong lagi.

"Time wedding kita tu, dia dekat Mekah. Mengerjakan umrah. Ibu ada call dia."
***
Darwina termenung. Kembali ke dunianya sendiri memikirkan perjalanan hidupnya. Sungguh dia tidak sangka begini takdir Allah berikan untuknya. Semuanya bergerak dengan pantas sejak di kembali dari Eropah dulu. Khaleeda ditemui mati di sebuah apartment mewah. Kematiannya sungguh tragis sekali. Percaya atau tidak, Faris yang dulu tergila-gilakan Darwina didapati bersalah atas tuduhan membunuh Khaleeda. Semuanya kerana cinta. Faris jatuh cinta dengan Khaleeda tapi Khaleeda yang mempermainkan perasaan pemuda itu. Darwina bersyukur Mahfuz tidak menjadi mangsa cemburu Faris.

Mahfuz mengaku kesilapan dirinya meniduri Khaleeda. Tapi menurutnya, itu semua rancangan Khaleeda yang tergila-gilakannya sejak dari zaman sekolah lagi. Darwina teringat kembali pesan Khaleeda beberapa hari sebelum dia bertolak ke Eropah dulu.

"Kalau kau nak dapatkan Mahfuz, kau langkah mayat aku dulu!" Darwina melihat wajah Khaleeda yang penuh kebencian. Sungguh begitu sekali nekad Khaleeda membenci sepupu sendiri kerana cinta.

###

...part 10 lara hati ini...

Jantung Darwina terasa jatuh berdebuk ke lantai bas. Ia terletak di antara kakinya, merah dan basah, masih berdegup. Darwina terasa mahu mengambil kerana lantai bas bukannya bersih sangat, ada puntung rokok dan habuk dan ada semacam cebis kondom terselit di kaki kerusi. Barangkali plastik roti, tetapi seluruh badan Darwina jadi kejang. Di hadapannya, ada dua orang askar beruniform lengkap, masuk ke dalam bas dengan senapang berselimpang di bahu. Walkie talkie  bercakap benda bukan-bukan.

Askar dua orang memerhati penumpang bas satu demi satu, tangan sebelah memegang pasport, sebelah lagi sentiasa dengan senapang. Darwina tidak pernah segentar itu. Hatinya terasa kecut dan terpacul dari badan, jatuh ke lantai, terdampar elok di sebelah jantungnya. Perutnya bergelodak dan rasa mahu muntah tiba-tiba datang. 'Ini tak boleh jadi. Kalau berterusan semua organ dalaman aku akan jatuh berselerak ke lantai bas' jenaka Darwina sendiri.

Darwina sedang berada di sempadan Republic Czech, ada komplikasi imigresen sebelum dibenarkan masuk. Negara itu baru dibentuk, sempadannya masih sensitif. Sebelum itu namanya adalah Czechoslovakia, telah berpecah secara aman dengan Republik Slovak. Ini berlaku beberapa tahun lepas. Sebenarnya, dari kecil Darwina sudah suka negara ini, sebabnya satu: ini adalah nama negara paling pelik dalam koleksi setemnya. Sebenarnya, Darwina sendiri macam tidak sangka juga akan menjejakkan kaki di negara bernama pelik ini. Sekarang organ badan Darwina sudah terselepuk di antara kaki.

Askar dua orang memulangkan pasport penumpang dan mengangguk kepada pemandu bas. Enjin dimulakan, pemanas mula menghambur hawa, bas tersengguk dua kali sebelum bergerak. Pemandu melambai kepada kaunter kastam. Darwina mencapai jantung dan hatinya di lantai, menepis-nepis membuang habuk dan memasukkan kedua-duanya ke dalam poket. Lebih kurang sejam kemudian, Darwina sudah mendaftar masuk di reception hotel, di pinggir ibukota Prague, dan terbaring di tilam macam zombie. Di atas meja ada piza tomato.

Prague adalah antara bandar bersejarah terindah pernah Darwina lawati, dan sebetulnya, ia mengingatkan Darwina kepada Malaysia. Mungkin kerana matawangnya mempunyai nilai yang hampir serupa dengan ringgit. Membeli barang-barang terasa murah, mungkin juga kerana bahasanya bila ditutur, terdengar lebih kurang macam Bahasa Melayu. Membaca terasa mudah, walapun tak faham sepatah pun dan mungkin juga kerana keramahan penduduknya mengingatkan Darwina kepada kampung sendiri. Bandar ini luar biasa jelita, berjuta pelawat datang mengembara ke buminya setiap tahun.

Masalah bandar-bandar Eropah yang lain adalah lokasi dan ideologinya. Banyak bandar-bandar utama Eropah terletak di tengah-tengah kawasan konflik, dan banyak pula daripadanya mempunyai pemerintah degil yang memang suka membakar konfrontasi. Maka, bandar-bandar itu sering terlibat dalam perang, sama ada perang saudara, perang dingin, atau perang dunia. Binaannya sentiasa dibom, dibakar, dimusnahkan, diganti baru. Tetapi tidak Prague, bandar ini macam tidak disentuh oleh keganasan perang, banyak binaan bersejarah masih tersergam sampai sekarang.

Selepas mandi dan menyumbat kembali jantung ke dalam dada, Darwina berjalan ke luar. Waktu itu musim panas. Cuaca cerah, dan suhu pun tidak berapa dingin, tidak berapa hangat. Walaupun sudah tua, Prague memang jelita, Darwina senyum dengan lirik mata. Darwina susuri jalan-jalan cobblestone, binaan-binaan lama. Banyak bangunan lama di sini telah terpapar di dalam layar perak, melakonkan London atau Paris sebelum waktu perang. Darwina berjalan di tengah-tengah pusat bandar, melawat istana besar, dan jam astronomi yang menjadi simbol bandar ini.

Ada satu bangunan yang paling Darwina suka di Prague, terletak di pinggirnya, di antara pusat bandar dan hotel tempat Darwina menginap, di persimpangan Jalan Resslova dan Rasinovo Nabrezi. Sebenarnya, bangunan itu adalah moden, satu daripada bangunan paling Darwina gemari dalam dunia selain Guggenheim di Bilbao dan Durian di Singapura. Bangunan itu dibina berkongsi oleh arkitek Prague Vlano Milunic dan arkitek terkenal Amerika, Frank Gehry. Ia terletak seperti dua mahluk sedang menari, maka diberi jolokan Tancici Dum, atau Bangunan Menari.

Kepenatan menjelajah bandaraya, Darwina singgah duduk di hadapan Tancici Dum, meneguk air mineral, berbual sedikit dengan seorang pemuda. Suara lelaki itu keras, seperti dia sedang mengunyah sesuatu. Kata lelaki itu: "Kamu tahu, Franz Kafka berasal dari kota ini?"

Mungkin Darwina tidak biasa dengan sastera barat. Lelaki itu bercerita satu persatu. Darwina seakan tertawan dengan cerita-cerita pemuda itu. Menurutnya, Franz Kafka boleh tahan terkenal dalam sastera barat, membentangkan karya berunsur, terutamnya eksistensialisme dan absurdisme. Yang ajaib dan pelik-pelik berlaku di dalam cerita tulisannya, sebenarnya menyimpan yang simbolik dan tersembunyi.

Dalam Metamorfosis, novela tulisannya yang paling penting, pada bab pertama, watak utamanya bangun pagi-pagi menyedari dia telah bertukar menjadi kumbang. Selain unik, buku ini memberitahu banyak tentang sastera, dan mengetengahkan cara penyampaian idea dengan lebih menyentuh. Gabriel Garcia Marquez mengatakan, Metamorfosis telah membuka matanya, mengajar bahawa karya tulisan boleh disampaikan dalam bentuk yang berbeza, bukan yang sama sahaja.

Jantung Darwina berdegup lebih kencang, menghidu bau bunga dan konkrit, musim panas dan haba pendingin. Petang baru Darwina habis berjalan, saling menunduk hormat, mengucap selamat dan pulang kembali ke hotel.

Darwina kembali teringat ketika dia menelefon Hajah Kamsiah pagi tadi untuk memberitahu ketibaanya dengan selamat. Tersedu-sedu kedengaran suara Hajah Kamsiah bertanya keadaan dirinya. Hari ini betul dan pasti Mahfuz dan Khaleeda akan diijabkabulkan setelah Mahfuz mengaku kesilapannya dan ingin bertanggungjawab ke atas Khaleeda. Hina. Sungguh hina. Hati Darwina terasa benci. Lelaki yang bakal dijadikan suami berlaku hina dibelakangnya.

"Mama pergilah majlis tu nanti. Wiwi okay je ma. Jangan kerana Wiwi, hubungan mama dengan Mak Ngah dan Khaleeda jadi tak elok," Sayu saja kedengaran suara Darwina. Di dalam hatinya bergetar Allah saja yang tahu. Di Eropah ini, Darwina menenangkan diri. Dia yakin segalanya akan kembali kepada normal bila masa dia kembali ke Malaysia minggu hadapan.

###

...part 9 penawar untuk hati...

Biar ku pujuk hati ini
Merawat rinduku sendiri
Setelah aku kau lukai
Sedangkan kau tahu


Klik. Lagu yang berkumandang itu tiba-tiba terhenti. Darwina menjenguk dari pintu kamar yang separuh terbuka dan sempat melihat kelibat Amir menuruni tangga. Abang dia yang satu itu, sejak akhir-akhir ini bagaikan mempunyai hobi yang baru. Menutup radio setiap kali lagi itu berkumandang!


Pintu kamar ditutup. Di luar sana semuanya tidak lagi seperti dulu. Dunia pun mungkin sudah tidak lagi berputar pada paksinya. Senda dan tawa Darwina tidak lagi kedengaran di rumah itu. Hanya sunyi dan sepi. Wajah manis Darwina kini sudah bertukar murung. Sinar matanya yang bercahaya dan ceria kini redup dan mendung. Hajah Kamsiah juga kian kurus dan cengkung.


Darwina yang pernah Mahfuz cintai dan sayangi. Darwina yang dijanjikan untuk meniti usia tua bersama-sama. Seperti usikan teman-teman sejawat, kalau mendengar tawa Mahfuz, pasti Darwina sedang bercanda dan kalau terdengar tangis Darwina pasti Mahfuz dilanda duka. 'Masih ingatkah Mahfuz pada jalan kenangan itu?' bisik hati kecil Darwina.


Masihkah Mahfuz ingat pada kasih yang pernah dikongsi bersama? Pada kebahagiaan yang pernah mereka miliki? Rumah yang sering meriah untuk persiapan perkahwinan mereka nanti, kini kosong dan sangat sepi. 'Mereka lebih berduka daripadaku Mahfuz!' bentak hati Darwina. Dan kalaulah Mahfuz tahu kesan keputusannya itu kepada Darwina sekeluarga, kepada rumah ini, kepada dunia di sekeliling mereka. Mereka pasti Mahfuz akan menimbangkan seribu kali, kerana Mahfuz tidak pernah kejam kepada sesiapa pun apalagi Darwina yang pernah Mahfuz cintai. Masihkah Darwina, Mahfuz cintai?


Kalaulah Darwina masih Mahfuz cintai, mengapa semudah itu Mahfuz kuburkan segala janji? Mengapa hanya setelah diabadikan dengan ikatan pertunangan ini, ia tiba-tiba luput dari hati Mahfuz? Apa dosa Darwina kepada Mahfuz? Di mana salah Darwina di mata Mahfuz? Darwina sendiri tidak tahu kerana Mahfuz sendiri tidak sudi memberitahu. Darwina tidak mungkin akan tahu kerana Mahfuz pergi begitu saja. Meninggalkan Darwina tertanya-tanya.


"Wina akan jadi milik Fuz. Fuz janji," kata Mahfuz ketika memandang tetap mata Darwina.


Masih terngiang-ngiang ditelinga Darwina janji Mahfuz. Tapi kenapa kini Mahfuz menghancurkan segalanya? Berpusing-pusing Darwina mencari jawapan. Mengapa senekad itu keputusan Mahfuz?


Patutlah dia cuba mengelak kebelakangan ini. Susah benar mengangkat panggilan. Di ajak berjumpa apatah lagi. Katanya demi kasih dia pada Darwina! Naifnya Darwina kerana kasih padanya! Dan kasih padanyalah yang masih Darwina rasakan. Tiada dendam, tiada benci. Hanya kasih pada Mahfuz yang semakin mendalam. Semakin mendalam.


Pastinya sudah ada perempuan lain menggantikan Darwina di hatinya. Pastinya perempuan itu lebih disayangi sehingga Darwina sanggup Mahfuz lukai dan lupa segala janji. Janji untuk melindungi Darwina hingga ke akhir hayat. Kata Mahfuz, hanya kuasa Tuhan yang mampu memisahkan Darwina dan Mahfuz. Kini hanya setelah tinggal seminggu lagi majlis perkahwinan mereka akan berlangsung, Darwina Mahfuz khianati.


Benarlah kata orang, perempuan tidak mudah keluar daripada perhubungan meskipun ada seribu faktor dalaman yang menolak, tetapi lelaki sanggup, meskipun hanya kerana satu faktor luaran yang menarik! Hanya kerana satu! Pastilah faktor yang satu itu juga yang merampas Mahfuz daripada Darwina. Pastilah kerana perempuan itu. Sepupu dia sendiri, Khaleeda! Dia pastinya perempuan jalang. Kalau dia perempuan baik pastinya hubungan Darwina tidak dia rosakkan. Darwina, sepupu dia sendiri.


Dan malam itu seperti malam-malam sebelumnya, Darwina berdiri lagi di tingkap kamarnya yang terbuka menatang dingin angin malam. Cahaya bulan menyuluh bangku bambu di bawah pohon ceri di sisi rumah dan mata Darwina terpaku di situ. Ia tempat kegemaran Mahfuz kalau sesekali dia datang bertandang ke rumahnya. Mahfuz gemar sekali memetik gitar dan mengalunkan suaranya yang lembut dan romantik di situ. Darwina akan selalu ingat lagu 'Permata' nyanyian Kopratasa yang kini bagaikan fobia untuk Darwina mendengarnya.


Amir bukan saja berubah sikap menutup radio setiap kali lagu itu berkumandang malah lebih jauh lagi telah mencadangkan kepada Hajah Kamsiah agar meroboh saja bangku bambu itu. Darwina tidak akan membenarkannya dan dia tahu Hajah Kamsiah juga tidak mengizinkannya. Semua orang tahu di bangku bambu itu tempat Darwina duduk menunggu Mahfuz setiap hari. Ia bukan saja menjadi tempat Darwina mengubat rindu, malah satu-satunya teman Darwina pada malam hari.


Kuingin kaujadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami


Nyanyian Darwina terhenti tiba-tiba. Mungkinkah lagu itu membawa pesanan Mahfuz untuknya? Mungkinkah sebagai bakal isteri, dia telah gagal memenuhi impian seorang bakal suami? Ah, kalaulah Mahfuz berterus-terang, Darwina berjanji membaiki segala kelemahan. Darwina berjanji menjadi isteri sebagaimana Mahfuz inginkan. Darwina tidak akan meminta lebih daripada yang diberi. Darwina akan menjadi isteri yang membanggakan Mahfuz. Lembut dan patuh. Katakanlah apa saja, segala-gala akan Darwina terima.


Tidakkan Mahfuz ingin kembali? Berpadankah hukuman yang Mahfuz berikan dengan kesalahan kecil yang tidak Darwina sedari? Mahfuz sendiri memanjakan Darwina sehingga Darwina terbiasa begitu. Sehingga Darwina terlupa untuk memberi kerana terlalu banyak menerima.


"Mama, hari ini Wiwi tolong mama memasak," Sergah Darwina pada Hajah Kamsiah yang sedang sibuk di dapur. Terpelanting senduk di tangannya. Darwina ketawa melihat Hajah Kamsiah yang sinar matanya seperti orang ketakutan.


"Mama ajar Wiwi buat sambal sotong, ya?" Hajah Kamsiah angguk.


"Nanti Mahfuz datang, Wiwi masakkan untuk dia. Mahfuz suka sangat sambal sotong mama." Kali ini Hajah Kamsiah mengangkat muka, memandang Darwina dengan sinar matanya yang dalam. Dia seperti menunggu-nunggu untuk mendengar cerita Darwina, tidak ubah seperti anak kecil yang sukar mengerti tetapi cuba memahami.


"Dia dah tak guna nombor tu mama..." Darwina tunduk menahan sebak. Sebenarnya sejak hari itu Darwina menelefon Mahfuz setiap hari. Betapa rindu untuk mendengar suara lembutnya. Hingga semalam hanya pesanan ini yang dia terima, 'Harap maaf, nombor yang anda dail tidak aktif atau berada di luar kawasan. Sila cuba sebentar lagi.'


Darwina mencuba sebentar lagi seperti yang disaran, bukan sekali dua tetapi tidak terhitung oleh jari kalaupun dicampur jari kaki. Kalau dulu hanya setelah dua atau tiga kali deringan, Mahfuz akan menyambutnya dengan riang, dengan penuh kasih sayang. Kini panggilan Darwina bukan saja tidak dijawab malah dia mula menerima pesanan yang berbeza, 'Harap maaf, nombor yang anda dail telah ditamatkan perkhidmatannya.'


Ditamatkan perkhidmatan? Baru semalam Darwina berjanji untuk jadi isteri yang lembut dan patuh, Mahfuz bukan sekadar mematikan telefon genggamnya malah memutus terus talian. 'Ah, matikanlah apa saja, kau tidak mampu mematikan cintaku padamu.' bentak hati Darwina. Keras.


Darwina tekup kedua-dua belah tangan pada mukanya. Dia ingin menjadi kuat dan tabah selalu tetapi dugaan ini terlalu berat. Hajah Kamsiah selalu berkata, Tuhan tidak akan menduga hamba-Nya lebih daripada yang mampu diterima. Tetapi dugaan ini sudah tidak mampu Darwina terima, mengapa Tuhan terus menduga? 'Mengapa mama?'


Dulu Hajah Kamsiah pernah berkata, tiap kesakitan yang Tuhan beri disertai dengan penawarnya. Ketika Darwina yang baru berusia 15 tahun meraung melihat Dania, adiknya tiba-tiba jatuh tidak bergerak lagi. Kata Hajah Kamsiah, Dania diserang sakit kepala dan apabila dia tidak lagi mampu menanggungnya, Dania pitam. Itu penawar daripada Tuhan, supaya Dania tidak lagi merasa kesakitan. Hampir seminggu Dania tidak sedar, Hajah Kamsiah kata Dania sedang koma. Kata Hajah Kamsiah, itu juga penawar daripada Tuhan. Dan sehari selepas itu Darwina diberitahu Dania meninggal dunia kerana penyakit barah otak.


Hajah Kamsiah menangis tetapi tetap memberitahu Darwina yang itu penawar daripada Tuhan. Kata Hajah Kamsiah, dengan kematian itu, berakhirlah penderitaan Dania. Tuhan memberi Dania penawar terakhir supaya barah yang menyerang Dania tidak lagi menyakiti Dania. Selepas itu Darwina tidak menangis lagi mengingati Dania kerana tahu Dania tidak sakit lagi. Tetapi di mana penawar untuk Darwina?


"Mana penawar untuk Wiwi, mama?" Tanya Darwina dalam sedu-sedan yang tidak terkawal. Hajah Kamsiah memeluknya.


"Mengucap Wiwi, mengucap. Ingatkan Allah..."


"Allah yang tak ingatkan Wiwi, mama. Allah lupa memberi Wiwi penawar. Hanya kesakitan saja. Wiwi sakit mama. Wiwi sakit." Darwina menangis dalam pelukan Hajah Kamsiah.


"Astafiruallahalazim..."


Takbir raya pun bergema. Hari ini genap tiga bulan 15 hari Darwina tidak melihat Mahfuz. Semalam, seawal pagi Darwina menunggunya di atas bangku bambu itu. Harapannya masih menggunung tinggi, tidak inginkah Mahfuz kembali? Seharian Darwina berdiri di tingkap kamarnya, mengintai dari balik langsir setiap kereta yang melintasi perkarangan namun Mahfuz tidak juga muncul. Dia tidak juga muncul.


Hari raya kedua. Darwina tentang rancangan Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam untuk menziarahi pusara kerana takut Mahfuz akan datang ketika ketiadaan meraka. Darwina tidak mahu dia menyangka kedatangannya tidak dia harapkan, dan dia akan pergi lagi. Kala itu terjadi, pasti sia-sia doanya semalaman kepada Tuhan supaya mengembalikan Mahfuz kepadanya hari itu. Namun melihat wajah muram Amir dan berbekal janji Hajah Kamsiah untuk ke pusara hanya sekejap, Darwina turut juga dengan langkah terpaksa.


Tangan Amir memegang lengan Darwina tiba-tiba. Dia memeluk Darwina ketika membawa Darwina meinggalkan pusara Dania menuju ke arah pohon kemboja yang sedang lebat berbunga. Darwina menoleh ke arah Hajah Kamsiah, dia sedang bersalaman dengan seorang perempuan gemuk yang dia tidak tahu muncul dari mana. Pastinya kenalan Hajah Kamsiah. Dia melemparkan senyuman yang aneh kepada Darwina dan entah mengapa Darwina merasa enggan membalasnya.
***
'Mahfuz dan Khaleeda berkahwin setelah mereka ditangkap basah.'


Begitulah bait-bait kata Amir yang ketika itu Darwina separuh sedar mendengarnya. Darwina terjaga di rumah ketika hari telah pun bertukar malam. Darwina lihat Haji Hisyam berada di hujung katilnya merenungnya dengan mata yang sembap. Hajah Kamsiah pula berada di sebelah Darwina mengusap dahinya dengan tuala basah.


"Mama, bagikan Wiwi kotak tu..." Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam termangu-mangu, berpandangan sesama sendiri.


"Kotak cincin tunang..." Ulang Darwina perlahan. Dalam enggan Darwina lihat Hajah Kamsiah keluar dari kamarnya dan kembali lagi dengan kotak kecil itu pada tangannya. Darwina membuka kotak itu dengan tangan gementar. Kembali dia mengingati hari itu. Hari terakhir dia melihat Mahfuz. Ia datang bersama-sama beberapa barangan yang lain. Darwina tidak pernah membukanya, kerana bukan kotak itu yang dia harapkan untuk kembali.


Seutas rantai emas dengan loket berlian berbentuk hati Darwina keluarkan dari kotak kecil itu. Di belakang loket itu terukir cantik, 'MahfuzDarwina'. Mahfuz pastinya telah menempah rantai itu lebih awal. Dia tidak sempat mengalungkannya sendiri pada leher Darwina.


"Terima kasih Fuz." Loket itu Darwina kucup. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidupnya, mengajar erti kelembutan dan kasih sayang. Terima kasih atas segala pengorbanan, juga janji yang dimungkiri. Terima kasih juga pada hari-hari yang pernah dikongsi, pada kebahagiaan yang pernah Darwina miliki.


Tangisan Darwina pun tak terbendung lagi mengingati Mahfuz yang dikasihi. Mahfuz yang tidak mampu lagi melindungnya.


"Maafkan Wina, Fuz." Darwina kucup loket itu berkali-kali.


"Wiwi, bawa mengucap, Wiwi." Darwina dengar suara Hajah Kamsiah berbisik di telinganya. Tangan Hajah Kamsiah mengusap rambutnya seperti Darwina remaja dahulu, seperti ketika Dania meninggalkannya.


"Allah tak lupakan Wiwi, mama. Alla berikan Wiwi penawarnya." Loket itu Dariwna kucup lagi.


"Kini Wiwi sudah cukup kuat untuk menerima!"


Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam berpandangan. Tersentuh hati Darwina dengan pengorbanan mereka berdua yang menjaga Darwina selama dia hanyut dalam dunia ciptaannya. Darwina hidup bersandarkan ilusi dan halusinasi dalam mengharapkan Mahfuz kembali. Darwina tabah selalu cuba melindungi dirinya daripada terus dibayangi ingatan bersama Mahfuz. Menutup radio setiap kali lagu kenangan itu berkumandang. Hajah Kamsiah pula bagaikan telah memaku telinga di pintu kamar Darwina sehingga selalu bersedia berada di sisinya setiap kali Darwina tidak dapat mengawal kedukaan.


Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam bagaikan tidak percaya yang Darwina kini sudah kembali di alam realiti.


Sesungguhnya Darwina pasrah Mahfuz tidak akan kembali menjadi miliknya lagi. Perlahan-lahan Darwina bangun dari katil menuju ke tingkap kamarnya yang terbuka. Sinaran bulan menyuluh bangku bambu di bawah pohon ceri itu dan Darwina bagaikan dapat melihat Mahfuz memetik gitar dan mendendangkan lagu itu untuknya.


Darwina seka air mata di pipi dan dikalungkan rantai pemberian Mahfuz itu pada lehernya. Darwina akan cuba mengerti. Kerana meskipun Mahfuz telah pergi menjadi milik orang lain, tetapi Darwina bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia pernah hadir untuk Darwina sayangi. Biarlah Mahfuz bersemadi dengan aman di dalam hati Darwina.


###



...part 8 pautan hati...

Darwina tersenyum sendiri. Matanya terarah kembali ke pentas yang berada di hadapan mereka. Penceramah telah selesai memberi taklimat terakhirnya. Kelihatan beberapa staff sibuk berbual sesama sendiri. Masing-masing begitu gembira dengan tugasan terakhir mereka di Perlis itu.

"Wina dengan boss macam orang bercinta. Sepanjang tugasan kat sini, langsung tak berenggang," Usik Eida, setiausaha Mahfuz yang berasal dari Perak.

"Ha.. Aa.. Saya langsung tak ada peluang nak bermesra dengan boss," Sampuk Hamka sambil tersenyum nakal. Semua staff hanya tersenyum sesama sendiri. Sedar tentang gurauan Hamka yang sudah mempunyai tiga cahaya mata. Darwina hanya tersenyum sipu.

"OK... OK... Eida minta maaf kalau ada yang terasa. Apa pun hari ini hari akhir kita dekat sini. So, I guess malam ini kita akan ke Langkawi lah kan?" Eida bersuara perlahan sambil mengenyitkan matanya.

"Mendiamkan diri bermakna setuju. Apa pun, Eida harap Wina tak hampakan harapan Eida," Bisik Eida perlahan sambil meninggalkan Darwina bersama staff lain.

Darwina hanya menggelengkan kepalanya. Dia mengeluh perlahan sambil memandang tepat ke wajah Eida. Pertama kali dia mengenali wajah lembut tersebut ketika temujanji dia dengan Mahfuz itulah.

Darwina sebenarnya ingin bersendirian. Sendirian menikmati keindahan laut yang terbentang luas. Matanya terpana pada butiran ombak yang berlari seiring dengan kelajuan feri yang mereka naiki. Indah dan mempesonakan. Air laut kelihatan seperti mutiara kaca yang berkilau. Dia terasa asyik dengan keindahan tersebut. 'Indah alam ciptaan Ilahi.' Bisik hati kecilnya.

"Awak berkarya?" Terasa keseronokan yang baru dikecap sekali lagi terganggu. Dia hanya mendiamkan diri. Seboleh mungkin dia tak mahu diganggu. 'Sejauh itu Datin Laila bercerita dengan Mahfuz?' Detik hati kecilnya. Sebenarnya dia tidak begitu arif dalam bidang penulisan. Cuma berminat membaca novel, cerpen dan puisi. Jika bosan kadang-kala, dia akan mencurah idea yang tersimpan dengan berkarya.

"Tak sangka pula kita akan berjumpa balik. And awak masih sombong seperti 7 tahun lepas," Darwina terlopong memandang Mahfuz. Kali ini kata-kata Mahfuz menarik perhatiannya.

"Awak mesti tak ingat saya kan? Tujuh tahun lepas. Mahfuz... Birthday party... Cousin Khaleeda kan?" Darwina memandang Mahfuz tepat.

"Hey..." Itu saja yang mampu terluah oleh Darwina. Dia benar-benar terkejut.

"Tau... From that day kita jumpa, saya dah tau, Awak jer dah lupa," Mahfuz tersenyum. Darwina kelihatan terlopong. Dia masih belum mampu berkata apa.

"Wah... Kecilnya dunia..." Darwina turut tersenyum puas. Sepanjang berada di Pulau Langkawi, hubungan antara Mahfuz dan Darwina berjalan baik. Dan, sekembalinya ke Kuala Lumpur, hubungan mereka menjadi bertambah erat. Acap kali bertukar SMS dan sering juga berutus e-mel. Entah kenapa Darwina suka sekali berutus e-mel dengan Mahfuz. Darwina suka dengan baris-baris kata gurauan yang Mahfuz berikan. Darwina sering kali bercerita tentang kehidupan hariannya dan hal yang agak peribadi. Masing-masing berasa senang.

Mesyuarat peringkat kedua sekali lagi menemukan mereka. Dan, pada suatu petang yang damai sewaktu bersantai di Tasik Titiwangsa, Mahfuz menyuarakan hasrat hatinya kepada Darwina.

"Wina berhajatkan Fuz?" Lembut suara yang lahir dari bibir yang memberi sanyuman manis tersebut.

"Hajatkan Fuz? Wina tak faham." Dia mengerutkan dahinya meminta kepastian.

"Fuz hajatkan Wina sebagai seorang kawan."

"Kawan? Sekarang pun kita bukan kawan ke?" Dia ketawa kecil, namun hatinya sedikit resah. Entah kenapa dia merasa ada sesuatu yang tersirat dalam kata-kata yang dilontarkan Mahfuz. Dadanya mula berdebar.

"Fuz mahukan Wina sebagai seorang yang istimewa dalam hidup Fuz." Kali ini, dahi Darwina semakin berkerut. Wajahnya berubah. Dadanya semakin berdebar-debar. Dia tidak begitu memahami apa yang Mahfuz maksudkan. Namun, dia mula mengerti sesuatu yang tersurat. Lama dia merenung wajah bersih Mahfuz. Mahfuz menghadiahkan senyuman yang cukup ikhlas. Dia semakin mula belajar mengerti. Semakin cuba memahami.

"Fuz mahu Wina menjadi suri hati Fuz." Bersungguh kata-kata yang lahir dari mulut Mahfuz. Darwina terpana. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Lama dia merenung wajah Mahfuz. Wajah tersebut begitu tenang setenang air di tasik tersebut.

"Fuz berhajat untuk menjadikan Wina yang teristimewa untuk Fuz hadiahkan kepada ibu. Wina jangan salah anggap, Fuz ikhlas dan Fuz tahu hanya Wina yang layak menjadi menantu kepada ibu." Tutur bicara lembut Mahfuz benar-benar membuatkan diri Darwina tersepit. Dia serba salah.

"Fuz..." Nada lembut sayu tersebut benar-benar menyentuh hati kecil Mahfuz.

"Tapi, kenapa Wina, Fuz?" Mata Darwina mula berkaca.

"Wina jangan salah anggap. From the day i met you, Fuz rasakan Wina istimewa. Wina ceria dan riang. Tapi, sinar mata Wina seolah-olah memberitahu sesuatu yang tersembunyi jauh di sudut hati Wina. Wina sunyi dan sepi sebenarnya. Wina seperti merindukan sesuatu. Dan, Fuz cuba untuk meleraikan rindu Wina itu. Fuz tak mahu Wina anggap Fuz ini gelojoh. Fuz ikhlas. Kalau betul caranya tak ada salah dan celanya. Fuz sayangkan Wina. Fuz mahu jadikan Wina yang mutlak buat Fuz. Berkongsi bahagia bersama-sama," Panjang dan lembut teratur bicara Mahfuz. Darwina terkaku untuk seketika. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia hanya mampu menangis perlahan.

Darwina menggelengkan kepalanya. Matanya terasa pedih. Bayu petang yang berpuput lembut terasa mendesahkan. Darwina menyeka jernih yang mengalir tanpa disedari.

Bukalah jendela hatimu seluas-luasnya kerana masih ada salam mesra yang bakal menjenguk untuk berlabuh kasih dalam kamar hatimu Darwina. Darwina mengeluh perlahan. Pesanan dari Yasmin tersebut amat diingatinya. Dia amat suka dengan kata-kata tersebut. Kata-kata tersebut seolah-olah memberi satu harapan dan impian dalam meniti usia yang semakin hilang deria remajanya. Dia tak pernah menutup pintu hatinya. Cuma dia gagal untuk melenyapkan kenangan silam.

Terasa benar keindahan cinta pertama yang tidak kesampaian. Dia terima hakikat bahawa insan yang pernah disayanginya kini bukan miliknya lagi. Cuma ada ketikanya dia tidak mampu membendung kerinduan yang datang tanpa diundang. Ataupun dia sebenarnya sengaja mencipta bahagia dengan menghidu nafas kenangan silam. Sengaja membiarkan resah rindu hadir dalam diri sendiri. Sengaja mengharapkan yang pertama itu akan kembali padanya meskipun ia adalah sesuatu yang tidak pasti.

Dia bahagia dengan cara hidupnya. Dalam usia yang semakin meningkat, dia riang ditemani keluarga dan rakan-rakan. Sesekali melibatkan diri berkarya meskipun tidak sehebat mana.

Darwina masih tergamam.

"Fuz tidak pandai bermadah puisi. Tapi, Fuz ikhlas mahukan Wina sebagai yang halal buat Fuz. Tak salah kan?" Darwina terpana. Terasa kehangatan air jernih yang menitis di tangannya. Dia merinth sendiri. Redha.

"Fuz... Jika benar ikhlas hajat Fuz. Datanglah... Jumpa mama dengan papa." Perlahan tapi jelas suara Darwina. Mahfuz angkat muka. Matanya berkaca. Tergamba kegembiraan di situ.

###

...part 7 soalnya hati...

Tengah hari itu, Darwina menjamu selera di kafe bersama teman-temannya kecuali Zehra yang menemui clientnya.

Wajah Darwina kelihatan agak sugul, memikirkan pertemuannya dengan Mahfuz selepas makan tengah hari nanti. Biasanya dia akan berurusan sendiri dengan Datin Laila. Tapi hari ini, lain pulak permintaan Datin Laila. Ya, dia akan berurusan dengan anak Datin Laila pulak yang menurut cerita rakan sepejabatnya baru balik dari Aussie.

Dia amat berharap berurusan dengan Mahfuz semudah dia berurusan dengan Datin Laila jugak.

"Wah, rugi Zehra tak ada. Look who is serving." Miasara tertawa kecil.

Darwina memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Miasara. Khalil sedang menyendukkan lauk untuk pelanggan yang sedang berbaris.

"He is so cool," Ujar Miasara sambil dibalas oleh Anis dengan cubitan kecil.

Darwina hanya memandang sahaja rentak gaya Khalil yang tak ubah seperti pekerja-pekerja kafe yang lain. Lelaki itu langsung tidak mempedulikan orang yang sedang mentertawakannya.

'Mengapa dia ditertawakan?' Darwina sendiri tidak mengerti. Tiada apa yang pelik bekerja sebagai pelayan baginya.

"Aku tak faham langsung kenapa dia nak bersusah payah macam ni. Ayah dia kan shareholder Melati Holdings ni," Anis cuba membangkitkan persoalan yang mungkin di fikiran kebanyakan yang mengenali Khalil.

"Shareholder? Wow, now I'm impressed. Cop, tak! Tak impressed langsung sebab semalam aku tegur dia buat dek jer." Miasara mencebik.

Mereka menghulurkan pinggan pada Khalil apabila sampai giliran mereka. Khalil hanya memandang, tanda yang dia meminta lauk yang mereka mahu.

"Laksa Johor. Letak semua to all three of us," pinta Miasara.

Khalil hanya diam membisu sambil mengisi pinggan-pinggan yang dipinta Miasara. Mi, kuah, timun, sambal belacan, limau kasturi, taugeh...

"Ah, tak mau. Tak mau taugeh," Ujar Darwina apabila sesudip taugeh diletakkan ke dalam pinggannya.

"Dah letak, ambil ajelah," Ujar Khalil bernada kasar.

Darwina agak terkejut dengan reaksi yang diterimanya dari Khalil.

"Dia tak nak taugeh, ambillah semula!" Anis cuba melawan.

Khalil mengeluh bengang.

"Lain kali cakaplah awal-awal. Menyusahkan betullah," Ujar Khalil merampas kembali pinggan dari tangan Darwina dan mengeluarkan taugeh dengan kasar.

Pingggan itu kemudiannya dikembalikan semula dengan cara yang sama menyebabkan kuah laksa itu hampir terpercik ke pakaian Darwina. Mujur Darwina berundur sedikit ke belakang, tetapi malangnya sedikit dari percikan itu terkena baju kurung Miasara.

"Hoi, gila ke?" Miasara mendengus geram sambil membersihkan kuah yang tumpah di bajunya.

Khalil hanya diam menghulur tisu.

"Kau ni psiko ke? Ini sutera Korea tahu tak? Susah nak cuci. Hantu betullah jantan ni." Miasara menyumpah-nyumpah.

"Lain kali pergi kerja pakai baju kurung biasa dahlah. Ini tempat kerja, bukan kenduri kahwin." Khalil membalas kata-kata Miasara.

Merah padam muka Miasara dibuatnya.

"Kau! Pergi sekolah balik belajar beradab dengan orang and stop acting like an idiot di kafe ni. Salah dia sendiri, nak marah-marah orang lain pulak!" Anis pula masuk campur dalam pertengkaran itu.

Darwina mengeluh. Lantas meminta kedua-dua temannya agar ke meja mereka.

"Apahal ni Wina?" Soal Miasara masih tak puas hati,

Darwina kembali ke kaunter dan mengambil makanan mereka yang tertinggal. Sempat dia meminta dulang dari Khalil supaya dapat mengangkat ketiga-tiga pinggan sekali. Khalil menghulurkan sebuah dulang kecil.

"Sorry, saya menyusahkan awak. Tapi, awak tak sepatutnya bergaduh dengan kawan-kawan saya. Marah saya aje cukuplah," Ujar Darwina cuba berdamai.

Khalil sekadar merenung wajah Darwina tanpa berkata apa-apa. Setelah Darwina berpaling untuk menghantar makanan itu, dia terdengar suara Khalil mengomel di belakang.

"Perempuan, menyusahkan!" Dengus Khalil menahan geram.

Darwina menarik nafas panjang, cuba bersabar. Dia menghampiri Anis dan Maisara yang masing-masing sedang merungut tentang perangai Khalil bersama dulang berisi tiga pinggan laksa di tangan.

Miasara dan Anis hanya memandang Darwina ketika dia meletakkan pinggan-pinggan berisi laksa di atas meja tanpa mempedulikan pandangan yang dilemparkan kedua-dua rakannya itu. Setelah Darwina melabuhkan punggung, Miasara mula bersuara.

"Kenapa buat macam tu tadi?" Tanya Miasara, masih mengelap-ngelap bajunya dengan tisu.

"Kau orang pun tahu perangai dia tu macam mana kan. Kenapa nak bertengkar lagi dengan si Khalil tu. Daripada layan orang gila, baik buat bodoh aje. Lagipun, aku yang patut mintak maaf sebab aku yang jadi penyebab baju kau tu kotor." Darwina duduk menghadap kedua-dua temannya itu.

"It's okay. Aku tak kisah sangat sebenarnya. Cuma, yalah, orang cari pasal dengan kita, mestilah nak lawan balik," Ujar Miasara. Suaranya kembali lembut.

Mereka diam seketika. Melihatkan tiada apa yang patut diperbualkan, Darwina mula menjamah laksanya.

"Hmm... Bila appointment kau dengan anak Datin Laila tu?" Tanya Anis tiba-tiba.
Darwina yang baru hendak menjamah suapan yang kedua terhenti dan memandang Anis, rakanya sejak dari universiti hinggalah menjadi rakan sepejabat. Anis mengangkat kening, seperti selalu yang dilakukannya bila meminta agar soalannya dijawab.

"Lepas ni," Jawab Darwina pendek, seperti berasa agak terganggu dengan soalan itu.

Dia kalau boleh, mahu berurusan dengan Datin Laila sendiri. Risau berurusan dengan Mahfuz itu tidak semudah berurusan dengan Datin Laila sendiri. Kalau dengan anak perempuan Datin Laila, Lia dia tidak begitu bimbang kerana dia mengenali Lia Amalina selama mana dia mengenali Datin Laila tetapi Lia mempunyai urusan lain di Jepun.

"Well, good luck. Aku harap kau okay je berusan dengan anak Datin Laila tu," Ujar Anis sebelum menelan laksa yang dikunyahnya.

Darwina mengukir senyum mengucap terima kasih, walaupun hanya Allah sahaja yang tahu betapa gusarnya dia ketika itu.
***
Pintu bilik Mahfuz diketuk. Setelah mendengar arahan 'masuk' dari dalam, Eida segera memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik yang berhawa dingin itu diikuti oleh Darwina.

"Bos, cik Darwina..." Ringkas saja pengenalan setiausaha Mahfuz itu lalu berlalu pergi setelah Mahfuz mengangguk tanda faham.

Mahfuz Fikri, eksekutif baru yang bakal menggantikan tempat Datin Laila sedang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya, memandang sekilas pada Darwina dan mengisyaratkan agar Darwina duduk di kerusi yang disediakan. Darwina sedikit mengerutkan dahi. Wajah Mahfuz seperti pernah dilihatnya. Dia cuba mengingat namun gagal.

Darwina akur dengan arahan itu lalu mengambil tempat di depan Mahfuz.

Dia sempat menjenguk pada meja Mahfuz yang beralaskan cermin. Kelihatan bingkai gambar terpamer gambar seorang lelaki yang agak berusia.

Malah di dinding bilik itu, ada beberapa lagi bingkai gamba yang lebih besar. Juga wajah orang yang sama.

"My late abah, Allahyarham Datuk Hisyam Aziz," Ujar Mahfuz tanpa ditanya sambil melirik sedikit pada Darwina dan tersenyum. Darwina hanya diam. Datin Laila tak pernah pula membangkitkan perihal arwah suaminya itu sepanjang perkenalan mereka. Lagipun ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke Permata Holdings ini. Biasanya Datin Laila akan datang sendiri ke Melati Holdings. Datin Laila lebih senang begitu.

Darwina nampak sedikit terkejut.

"Nama arwah abah encik, Hisyam?" Soalnya.

"Ya, sama seperti nama ayah awak, bukan? Saya sayangkan dia, tapi nak buat macam mana, dah takdir. Tuhan lebih sayangkan dia," Ujar Mahfuz masih tersenyum. Menanggalkan cermin mata dan mengurut-urut pangkal hidungnya, cuba memberi fokus pada hal sebenar kedatangan Darwina.

"Well, macam kata orang, everything happens for a reason." 


Darwina kembali menyepi, menanti kata-kata dari Mahfuz. Dia mula berasa kesejukan bilik itu menyucuk tubuhnya. Dia menantikan reaksi, tetapi Mahfuz cuma tersenyum.

"Baiklah, kembali kepada hal sebenar..." Mahfuz mula menyarung semula cermin mata dan mengelap hidungnya dengan tisu sebelum dia benar-benar memberi perhatian kepada Darwina yang berpeluk tubuh kesejukan di depannya.
***
Darwina memicit-micit kepalanya yang pening. Dia mula rasa loya. Kepenatan seharian berurusan ke hulu ke hilir jelas tertulis di wajahnya. Hampir saja terasa mahu pitam apabila kereta dari bertentangan yang seperti hilang kawalan melanggar kereta di hadapan. Nasib baik Darwina sempat membrek lalu berhenti di bahu jalan. Jelas di mata Darwina kereta yang dipandu seorang wanita itu terpusing beberapa kali sebelum merempuh tiang lampu.

Darwina bergegas keluar dari kereta. Dia cuba memeriksa keadaan wanita itu. Ternyata wanita itu separuh sedar.

"Cik okay ke tak?" Tanya Darwina cemas. Wanita itu hanya mengangguk. Kelihatan darah banyak mengalir di dahi wanita itu. Dengan kudrat yang tinggal, Darwina cuba mengeluarkan wanita itu dari keretanya yang sudah remuk teruk. Darwina mengheret wanita itu ke kawasan yang berumput. Jalan raya kelihatan lenggang saja. Waktu begini memang jalan itu akan sunyi saja tanpa kereta yang lalu lalang. Darwina hilang arah. Dia duduk di sisi wanita itu.

"Cik... Family saya... Pesan dekat adik saya... Saya sayang kat dia..." Tersekat-sekat saja suara wanita itu. Darwina yang masih hilang arah, terus termanggu sebelum beberapa saat kemudian, kereta wanita tersebut meletup dan terbakar. Darwina rebah. Antara penat dan cemas, penglihatan Darwina mula kabur. Terus gelap.

###



...part 6 suara berharap...

Senyum Mira dan Zainal pasti sedang mengembang di kala ini. Dalam diam, Darwina membayangkan wajah teman-temannya itu. Ditatap sekali lagi kad yang masih lagi berada di tangannya. Wangi, bau kad jemputan perkahwinan sememangnya begitu kan? Kini Darwina pula yang mengoles senyum. Hatinya jadi sedikit geli pabila membaca nama di kad jemputan itu. Mira dan Zainal. Siapa sangka merpati dua sejoli yang mabuk bercinta sedari zaman Diploma dahulu akhirnya akan berkahwin juga setelah beberapa tahun kemudian?

Kad jemputan Mira dan Zainal diletakkan di dalam laci, bersama-sama kad jemputan perkahwinan Anis yang diterimanya kelmarin. Darwina masih belum membuat keputusan untuk hadir ataupun tidak ke majlis kedua-duanya. Bukan kerana apa, tetapi Darwina segan. Rakan-rakan seperjuangan dahulu sudah memimpin anak-anak dua tiga orang tetapi Darwina? Masih sendiri. Tegar tanpa peduli untuk mencari seorang teman penyeri hati.

Darwina memejamkan mata, cuba menguis wajah yang tiba-tiba melintas di jalan fikirannya. Tujuh tahun sudah berlalu semenjak dia datang dan pergi, meninggalkan Darwina jadi semacam ini. Tujuh tahun lalu, lelaki yang bernama Hakim itu berusia 18 tahun dan Darwina di kala itu menjangkau 17 . Persahabatan yang akrab membawa kepada rasa cinta dalam hati seorang gadis mentah dan hijau seperti Darwina.

"Wina! Darwina!" Darwina tersentak. Berkeliaran terhuyung-hayang segala kenangannya berlari entah ke mana. Dia memandang tepat wajah Yasmin, rakan sejawatnya.

"Maaf, aku ketuk pintu tapi engkau tak menyahut. Jadi aku buka terus. Engkau belum balik lagi?" Tanyanya.

Darwina mengalih pandang jam di sudut meja kerjanya. Sudah hampir lima setengah rupanya. Dia mendengus halus, menyesal kerana mengingati kenangan sampai lupa waktu.

"Sorry, aku tak perasan dah lima setengah. Jomlah!" Ujarnya menjawab seraya mencapai beg tangan yang terletak di bawah meja. "Aku ingat malam ni aku nak jalan-jalanlah, Dah..." Darwina bersuara sambil mengundurkan keretanya ke belakang. "Kenapa?" Yasmin hairan. Bukan kebiasaan baginya melihat Darwina berjalan-jalan di hari minggu. Setahunya, Darwina lebih gemar berteleku di ruang pejabat atau mencari ilham menulis di rumah. Darwina mengeluh sebelum menjawab perlahan.

"Kawan-kawan aku kahwin... Aku nak carikan buah tangan." Ujarnya antara dengar dan tidak. Entah kenapa nada suara untuk menjawab soalan itu perlu menjadi perlahan, Darwina juga tidak tahu. Tetapi seolah-olah ada nada sayu di situ. Atau mungkinkah nada kesalan? Yasmin senyum, gagal mengesan kekecewaan yang bertandang dalam hati Darwina. "Hu... Kenduri kahwin. Seronoknya, lama juga tak makan nasi minyak. Tapi tak apa, tak lama lagi aku akan merasa nasi minyak sendiri pula!" Ujarnya sambil ketawa. Darwina senyum nipis, sekadar turut ikut serta meraikan kegembiraan Yasmin yang bakal menamatkan zaman bujangnya hujung tahun nanti.

Keadaan sunyi seketika selepas tawa Yasmin selesai. "Em... Nasi minyak engkau, bila pula Wina?" Soal Yasmin perlahan tiba-tiba. Seakan-akan ada nada hati-hati dalam bunyi suara Yasmin. Darwina tergelak sambil menggeleng-gelengkan kepalanya mendengar soalan Yasmin yang tanpa diduga itu. "Nasi minyak aku?" Darwina menyoal meminta kepastian. Yasmin mengangguk laju-laju mengiakan. "Aku dengan yang namanya cinta itu tak pernah serasi, Min... Engkau pun dah sedia maklum kan?" Jawabnya menunjukkan wajah tanpa rasa. Sedang dalam hati, sedikit demi sedikit lukanya terguris kembali. "Kau jual mahal sangat," Sindir Yasmin. Tajam.

"Bercintalah selepas kahwin. Kata orang, itu lebih nikmat," Usul Yasmin. Darwina ketawa lagi.

"Boleh. Aku nak bercinta selepas kahwin dengan Aizat!" Ujarnya selamba.

""Hey!" Yasmin mencubit paha temannya yang sedang memandu itu. Berang kerana nama tunangnya dipermainkan. Darwina ketawa lagi sambil sebelah tangannya cuba menepis cubitan Yasmin dan sebelah lagi mengawal stereng keretanya.

"Aku betul-betul lah... Sampai bila engkau nak sendiri Wina?"

"Em... Sampai... Putera raja datang rumah papa aku untuk meminang!" Jawabnya berlelucon, cuba memadam keresahan.

"Alah... Aku tahu Wina, apa yang ada dalam hati engkau tu. Sampai bila? Mengejar bayang-bayang? Cuba merendahkan sesuatu yang tak mungkin akan tercapai?"

Sampai bila nak menunggu orang yang tak memberi kata pasti?" Yasmin menomborkan soalan satu-persatu tanpa sempat memberi ruang pada Darwina untuk menjawabnya.

"Apa yang engkau cakap ni Min?" Wanita yang bernama Darwina itu bersuara berpura-pura semacam tidak mengerti apa-apa. Yasmin senyum sinis.

"Hakim?" Ujarnya menjawab, ataupun sebenarnya menyoal kembali. Darwina meneguk liur. "Hakim?" Soalnya sedikit gagap.

"Iya, Hakim yang berlalu tujuh tahun dulu? Wina, tipulah kalau engkau kata engkau dah lupakan dia. Engkau... Masih tunggu dia?" Yasmin merenung sisi wajah Darwina.

Darwina tegar menatap pandang ke hadapan, pada jalan raya. Seketika, dia cuba mengira garis-garis putih di tengah-tengah tar demi membuang senyum Hakim yang menerpa.

"Ish... Hakim tu? Tak adalah..." Lirih ucapannya. Mereka berdua terdiam seketika. Darwina memberikan isyarat untuk belok ke kiri.

"Hakim yang hadir seketika, tak sampai pun setahun. Tapi dia berjaya memberikan kesan sedalam ini pada engkau. Paling kuat, paling dalam, paling berbekas, kan Wina?" Yasmin menebak lagi. Luka Darwina tertebuk semakin dalam. "Kami berkawan agak lama," Antara dengar atau tidak Darwina sempat membetulkan kata-kata Yasmin.

"Min... Mana ada. Aku dah tak ingat pun..." Ujarnya menafikan. Walaupuun sebenarnya, sepanjang enam tahun ini, tidak pernah ada seharipun wajah Hakim tidak menjelma dalam fikirannya walaupun yang ada hanya sisa-sisa kekaburan kerana sudah tujuh tahun tidak bertemu. Kehadiran kembali Hakim berbulan yang lalu, menyentak hati kecil Darwina kembali. Namun, ternyata kehadirannya cuma sementara. Hakim hilang lagi tanpa berita.

"Kalau iya, kenapa selepas Hakim datang kembali, engkau berubah?" Yasmin tidak putus harapan bertanya. Tidak perasan tentang betapa isu itu masih sensitif bagi diri Darwina ataupun mungkin juga Yasmin sengaja buat tidak peduli. Darwina senyum kelat.

"Apa yang berubahnya cik Min oi... Aku tetap juga Darwina yang engkau kenal sembilan tahun dulu. Berubah menjadi bertambah cantik adalah kan?" Balasnya berjenaka sekali lagi.

Seboleh-bolehnya Darwina cuba untuk tidak terlalu serius membincangkan isu Hakim. Bimbang air mata itu jatuh lagi. Yasmin ketawa kecil.

"Maksud aku, engkau tu dah tak macam dulu. Engkau dah tak peduli untuk hidup berteman. Walaupun jodoh pertemuan itu 'kun fayakun' dari Allah, Tuhan takkan memberi kalau usahanya tidak ada, Wina..."

Yasmin menjentik pemikiran Darwina untuk bergerak, berfikir tentang diri sendiri dan jodoh yang menemani.

"Aku sibuklah Min... Nak bersembang dengan orang tua aku pun kadang-kadang tak menyempat. Mana ada masa aku nak mencari," Ujarnya beralasan.

Sesekali matanya melirik ke cermin pandang sisi. Menatap wajah yang kian dihambat usia. "Engkau cuba-cubalah rapat dengan Faris tu. Tak salah mencuba, Wina..." Yasmin memberi cadangan. Darwina ketawa besar.

Sebelah tangannya menutup mulut mendengarkan cadangan Yasmin yang menarik urat tawanya. Usul Yasmin kedengaran kelakar sekali.

Darwina menggeleng-gelengkan kepala, Kerongsang berjuntai yang dipakai di bawah dagu mengikut ritma tawanya.

"Engkau ni gilalah!" Itu sahaja reaksi yang mampu diberikan Darwina.

"Ish engkau ni... Cuba fikir, kali terakhir engkau berkawan dengan lelaki cuma waktu itulah, dengan Hakim tujuh tahun dulu. Bila dia berlalu pergi, engkau terus tutup pintu hati.

Tak pernah terbuka langsung walaupun sedikit. Macam aku tak tahu, Hakim juga yang engkau tunggu waima dah tujuh tahun tak ada khabar berita!" Yasmin mencebik.

"Apa-apalah Min... Tapi untuk mempertimbangkan si Faris? Hmm. Big no! Orang yang macam Faris tu nak buat peneman tidur berkongsi bantal seumur hidup? Hish... Tak mahulah aku!" Tolaknya mentah-mentah dengan tawa kecil yang masih bersisa sedikit. Penolakan itu menerbitkan cebikan lagi di bibir Yasmin.

"Itulah engkau! Belum ada usaha, belum berikhtiar, engkau dah senang-senang talak tigakan cadangan aku. Engkau tak mahu bahagia,  Wina?"

Soalan terakhir Yasmin membuatkan air wajah Darwina segera berubah. 'Bahagia? Siapa yang tidak mahu, Min?! Siapa yang kan menolak kebahagiaan jika ia didatangkan untuk mereka? Tapi bukankah soal hati memang sukar untuk ditafsir? Dirasa malah diselami...'

"Aku tidak ada kelebihan untuk membaca hati dan perasaan, Wina. Dan hati engkau tu bukannya boleh dipandang tembus. Cuba engkau cerita, apa yang engkau rasakan sebenarnya?"

Nada pujukan Yasmin menjadi perlahan. Seperlahan gerak kereta yang mereka naiki waktu ini akibat kesesakan jalan raya walaupun simpang rumah tinggal selaung cuma.

Nyatanya, Yasmin sedang cuba merobek lapisan yang menyelaputi hati Darwina agar dapat melihat apa yang tertulis di situ.

"Wina..." Pujuknya lagi setelah Darwina sekadar mengetap gigi.

"Satu waktu dulu, aku ini ibarat pemandu kereta yang tak pernah berhenti, Min..." Darwina memulakan kata. Hembusan nafas Yasmin menjadi helaan kelegaan. Giliran Yasmin pula yang berdiam diri menanti sampainya penghujung baris ayat-ayat Darwina.

"Aku memandu dan terus memandu, mencari penumpang di tepi jalanan lebuh raya kehidupan agar dapat aku pelawa untuk duduk di sebelah, menemani aku dalam pemanduan aku untuk sampai ke destinasi.

Akhirnya, aku berhenti di hadapan Hakim. Aku dapat rasakan dia bakal menjadi teman yang paling tegar untuk aku sama-sama berkongsi jalanan dalam jalur yang panjang ini.

Aku berhenti, dan pelawa dia untuk naik kereta yang aku pandu. Tapi kan Min... ibu dia tak sudi. Malah dia tak membenarkan Hakim buka pun pintu kereta tempat duduk penumpang itu. Bertahun-tahun Min. Aku pendam resah-gelisah hati. Lepas bertahun itu jugak, Hakim datang balik. Dia seolah bermain tarik tali dengan hati ini. Antara hendak atau tidak."

Sesekali Darwina menggigit bibir. Dan sesekali gigitan bibirnya berselang seli dengan tujahan kaki menekan brek kereta dan menekan minyak, memasuki simpang taman perumahan lokasi letaknya rumah teres setingkat milik keluarga Yasmin.

Yasmin masih memilih untuk menjadi bisu, tetapi tidak tuli. Gegendang telinganya menangkap satu-persatu bicara Darwina. Darwina menyambung lagi.

"Seharusnya, aku teruskan pemanduan. Mencari penumpang lain yang lebih sesuai mungkin. Tapi, aku sekadar menghidupkan enjin kereta. Dan aku masih tetap berhenti di hadapan Hakim. Tanpa berfikir untuk menekan minyak dan berlalu pergi.

Beberapa kali aku pernah mencuba, tapi aku kurang kuat. Aku tetap berfikir bahawa satu hari nanti, Hakim akhirnya akan sudi mengisi kerusi kosong di sisi aku, dan bersetuju untuk menemani aku meneruskan pengembaraan. Aku, masih di situ Min. Dalam kereta, di hentian yang sama, hadapan Hakim, menanti. Terus menanti..."

Darwina menyapu titis jernih yang tanpa sedar, mengalir di pipi gebunya. Yasmin sedikit terpempan. Ada rasa bersalah menyusup masuk ke tangkai hatinya melihat air mata Darwina yang mengalir. Tetapi jika tidak hari ni, jika tidak menggunakan peluang berbicara sekarang ini, pasti Darwina akan lebih terluka lagi. Masa semakin suntuk, semakin menjerut.

"Mungkin dia lebih selesa duduk dalam kereta lain, Wina..." Yasmin mengakhiri kata seiring kereta Darwina berhenti di hadapan rumah bernombor 32. Darwina sekadar mengangguk kecil. "Ya, mungkin benar dia lebih selesa duduk di kereta lain..." Halus bicara Darwina menenggelamkan kedukaan di hati.

"Tapi Wina... Ada yang lebih berhak memiliki. Ada yang lebih menggilai senyuman milik kau," Yasmin mengenyit seraya menutup pintu kereta. Darwina sedikit hairan. 'Min masih maksudkan Faris ke?'


###

...part 5 kekusutan melanda...

Cincin bertatah berlian yang diikat dengan emas putih mengerdip indah di dalam bekas kecil baldu. Darwina memandang dengan rasa jengkel. Kalau diturutkan hati mahu saja dia membalingkan ke dalam lubang tandas. Pesanan dari Mira dan Anis sudah lebih tiga kali memberi isyarat. Darwina mengeluh panjang. Dia tahu dua rakannya itu sama kecoh mahu tahu apa yang terjadi. Sengaja dia membiarkan telefon itu menjerit tanpa dilayan.

"Kenapa mamat tu? Bagi cincin berlian ni kenapa? Dia hilang akal apa?" Cebik Darwina sewaktu Hajah Kamsiah masuk ke bilik untuk menyerahkan kotal kecil itu.

"Orang tu cuma hantar cincin bertanya..."

"Ah, mengada-ngada. Kalau setakat nak bertanya, tanyalah sendiri... Macam tak ada mulut! Satu pejabat pulak tu... Selama ni pandai cari telefon kacau orang siang malam, ni tak reti pulak!" Rengus Darwina yang memang benci benar kalau nama Faris disebut.

"Jangan sombong sangat Wiwi... Perempuan makin lama makin tua, tak cantik mana lah muka tu... Lagipun dia datang cara beradat, takkan mama nak halau pulak?"

"Esok mama telefon dia... Pulangkan balik cincin tu!" Darwina tetap tidak berganjak dengan hatinya yang keras. Hajah Kamsiah tergamam dan memandang Darwina dengan mata yang terbeliak. Darwina selamba pura-pura tidak perasan mamanya sudah merah muka.

"Mama mintak tempoh seminggu... Nanti apa kata dia orang. Belum sehari kamu dah beri kata putus..." Jerkah Hajah Kamsiah. Suaranya semakin cemas. Dia tahu benar kerenah Darwina. Keras kepalanya memang sukar diubah.

"Lantak dia oranglah nak kata apa pun! Siapa suruh gatal sangat hantar cincin tak berbincang dengan Wiwi?"

Nafas Hajah Kamsiah turun naik menahan sabar. Dia tidak mampu berkata apa-apa Direnungnya wajah Darwina seperti singa lapar mahu menerkam mangsa. Darwina leka membetulkan selendangnya. Kemarahan mamanya bagai tidak berbekas di hati.

"Ni kemas-kemas nak ke manas?"

"Jalan-jalan lah..." Jawab Darwina.

"Budak bertuah! Kita pulak nak pecah kepala fikirkan masalah dia." Gerutu Hajah Kamsiah.

"Bukan Wiwi yang cari masalah. Kalau mama nak leter, patutnya mama telefon Faris tu, leter dan beri ceramah pada dia tu... Cakap dengan dia, lain kali jangan main terjah aje!" Belum sempat Hajah Kamsiah berkata panjang, Darwina sudah memotong. Ikutkan hati yang panas, mahu saja mulut celupar Darwina dicili-cilikannya. Tidak mahu pertengkaran menjadi lebih panjang, Hajah Kamsiah segera meninggalkan anak gadisnya itu sendirian di dalam bilik.

Tanpa menghiraukan langit yang sudah menurunkan langsir malam, Darwina terus memandu. Biarpun beberapa kali papanya memujuk jangan keluar, dia tetap berkeras. Sedikit pun hidangan makan malam tidak dijamahnya. Hajah Kamsiah sendiri pura-pura tidak berkisah tentang Darwina.

"Biarkan dia! Lantak dialah nak keluar dengan perut kosong! Budak bertuah tu memang kepala batu! Susah nak diajak berunding." Rungut Hajah Kamsiah yang hanya mengintai Darwina masuk ke dalam kereta di balik langsir.

"Kepala batu tu ikut awak..." Cemuh suaminya pula. Hajah Kamsiah spontan menarik muka panjang. 'Huh, anak dengan papa sama aje! Mesti dimenangkan ananknya jugak!' Gerutunya di dalam hati.

Sepanjang memandu malam itu, Darwina bagai melalui laluan yang penuh kerikil. Ke mana arah tujunya, dia sendiri pun tidak pasti. Resah-gelisah dan fikiran yang bersimpang-siur membuat dia memandu dengan cukup laju. Malam baru berpucuk di langit. Bintang yang menjadi kerongsang malam menjadikan padang langit manis dan tenang direnung pencintanya.
***
Sampai di depan pagar rumah Darwina tidak terus masuk ke dalam. Dia tersandar di kereta memikirkan masalah yang mula bersarang di fikiran. Semakin difikir semakin sendat kepalanya.

Telefon, tidak... Telefon, tidak... Telefon...

Berbolak balik hatinya mahu mencapai telefon di dalam tas tangan. Sekejap begitu sekejap begini. Darwina berkali-kali memujuk hatinya. Kalau mahu selesaikan masalah, dia harus berani berdepan dan bersuara pada Faris. Kalau diam, nanti dianggap setuju dan suka! Oh, tidak...

Darwina pantas mencapai telefon.

Lama dia menunggu baru telefon diangkat. Darwina nekad kalau perlu dia akan meredah malam dan menjerit nama Faris di pagar rumah. Darwina sempat membuat dua kali tawaf di depan rumah Faris. Memang ada kereta Faris di hadapan rumahnya itu. Ikutkan hati tak ingin dia pandang rumah Faris, biarpun setakat bumbung rumah. Namun Darwina tahu dia perlu selesaikan masalah yang satu ini. Lagi lama dibiarkan semakin bernanah hatinya.

"Helo..."

"Helo..."

"Hai, baby... Nak cakap dengan siapa?" Suara garau itu cukup mengejutkan Darwina.

"Hei, saya ni... Jangan nak main-mainlah!"

"Eh, siapa nak main-main pulak..." Suara itu seperti meneran. Darwina menjadi gamam sesaat dua.

"Helo... Awak dengar tak..."

"Arrghh... Arrgghh... Emm... Dengar... Dengar... Awak cakap aje..." Suara itu bunyi meneran lagi. Diikuti dengan bunyi latar ada benda keras dan berat menjunam jatuh ke dalam lubang. Kemudian ada bunyi percikan air. Seterusnya bunyi orang mengepam air.

"Hei... Cakaplah..." Suara garau itu mengejutkan Darwina. Tiba-tiba saja Darwina berasa kembang tekak. Ya ALLAH, keji dan jijik sungguh perangai! Di dalam tandas rupa-rupanya.

"Helo..."

Darwina hilang selera untuk menelefon. Dia mematikan talian. 'Bodoh! Bahalul! Kalau dalam tandas buat apa jawab telefon'

"Darwina... Wina..." Telefon berbunyi dan dijawabnya. Namun mulutnya berat menjawab. Cuma terkumat-kamit menyumpah seranah di dalam hati.

"Hei, lain kali kalau dalam jamban jangan jawab telefon..."

"Wina tadi tu..."

"Awak ni kan... Memang bebal ye... Tak faham saya tak suka... Ikutkan hati memang cincin awak bagi tu saya nak campak dalam lubang jamban... Rupanya perangai awak pun macam papan jamban buruk!" Darwina masih lagi di dalam kereta. Puas hatinya dapat melepaskan geram yang terbuku.

"Wina dengar sini..."

"Hah, nak dengar awak buat apa pulak... Awak jangan nak jadi badut bodohlah..."

"Wina tadi tu bukan saya... Adik saya, si Farhan yang jawab telefon. Handphone saya tertinggal dalam tandas. Sorrylah... Kalau awak tak suka..."

"Banyaklah alasan awak..."

"Betul... Awak nak suruh saya buat apa? Awak nak suruh saya melutut mintak maaf? Awak kat mana? Kalau kat rumah sekarang jugak saya datang..."

"Hei, jangan nak gila... Jangan nak buat drama pulak malam-malam ni..." Darwina sebenarnya cemas. Dia tahu Faris memang selalu buat kejutan. Ada-ada saja kerja gila yang dibuatnya.

Darwina tahu dia mesti bertegas. Malam ini semuanya mesti selesai. Kata-katanya perlu jelas. Kalau Faris tidak faham hatinya, seribu kali pun dia sanggup mengulang semula kata-katanya itu.

###