Askar dua orang memerhati penumpang bas satu demi satu, tangan sebelah memegang pasport, sebelah lagi sentiasa dengan senapang. Darwina tidak pernah segentar itu. Hatinya terasa kecut dan terpacul dari badan, jatuh ke lantai, terdampar elok di sebelah jantungnya. Perutnya bergelodak dan rasa mahu muntah tiba-tiba datang. 'Ini tak boleh jadi. Kalau berterusan semua organ dalaman aku akan jatuh berselerak ke lantai bas' jenaka Darwina sendiri.
Darwina sedang berada di sempadan Republic Czech, ada komplikasi imigresen sebelum dibenarkan masuk. Negara itu baru dibentuk, sempadannya masih sensitif. Sebelum itu namanya adalah Czechoslovakia, telah berpecah secara aman dengan Republik Slovak. Ini berlaku beberapa tahun lepas. Sebenarnya, dari kecil Darwina sudah suka negara ini, sebabnya satu: ini adalah nama negara paling pelik dalam koleksi setemnya. Sebenarnya, Darwina sendiri macam tidak sangka juga akan menjejakkan kaki di negara bernama pelik ini. Sekarang organ badan Darwina sudah terselepuk di antara kaki.
Askar dua orang memulangkan pasport penumpang dan mengangguk kepada pemandu bas. Enjin dimulakan, pemanas mula menghambur hawa, bas tersengguk dua kali sebelum bergerak. Pemandu melambai kepada kaunter kastam. Darwina mencapai jantung dan hatinya di lantai, menepis-nepis membuang habuk dan memasukkan kedua-duanya ke dalam poket. Lebih kurang sejam kemudian, Darwina sudah mendaftar masuk di reception hotel, di pinggir ibukota Prague, dan terbaring di tilam macam zombie. Di atas meja ada piza tomato.
Prague adalah antara bandar bersejarah terindah pernah Darwina lawati, dan sebetulnya, ia mengingatkan Darwina kepada Malaysia. Mungkin kerana matawangnya mempunyai nilai yang hampir serupa dengan ringgit. Membeli barang-barang terasa murah, mungkin juga kerana bahasanya bila ditutur, terdengar lebih kurang macam Bahasa Melayu. Membaca terasa mudah, walapun tak faham sepatah pun dan mungkin juga kerana keramahan penduduknya mengingatkan Darwina kepada kampung sendiri. Bandar ini luar biasa jelita, berjuta pelawat datang mengembara ke buminya setiap tahun.
Masalah bandar-bandar Eropah yang lain adalah lokasi dan ideologinya. Banyak bandar-bandar utama Eropah terletak di tengah-tengah kawasan konflik, dan banyak pula daripadanya mempunyai pemerintah degil yang memang suka membakar konfrontasi. Maka, bandar-bandar itu sering terlibat dalam perang, sama ada perang saudara, perang dingin, atau perang dunia. Binaannya sentiasa dibom, dibakar, dimusnahkan, diganti baru. Tetapi tidak Prague, bandar ini macam tidak disentuh oleh keganasan perang, banyak binaan bersejarah masih tersergam sampai sekarang.
Selepas mandi dan menyumbat kembali jantung ke dalam dada, Darwina berjalan ke luar. Waktu itu musim panas. Cuaca cerah, dan suhu pun tidak berapa dingin, tidak berapa hangat. Walaupun sudah tua, Prague memang jelita, Darwina senyum dengan lirik mata. Darwina susuri jalan-jalan cobblestone, binaan-binaan lama. Banyak bangunan lama di sini telah terpapar di dalam layar perak, melakonkan London atau Paris sebelum waktu perang. Darwina berjalan di tengah-tengah pusat bandar, melawat istana besar, dan jam astronomi yang menjadi simbol bandar ini.
Ada satu bangunan yang paling Darwina suka di Prague, terletak di pinggirnya, di antara pusat bandar dan hotel tempat Darwina menginap, di persimpangan Jalan Resslova dan Rasinovo Nabrezi. Sebenarnya, bangunan itu adalah moden, satu daripada bangunan paling Darwina gemari dalam dunia selain Guggenheim di Bilbao dan Durian di Singapura. Bangunan itu dibina berkongsi oleh arkitek Prague Vlano Milunic dan arkitek terkenal Amerika, Frank Gehry. Ia terletak seperti dua mahluk sedang menari, maka diberi jolokan Tancici Dum, atau Bangunan Menari.
Kepenatan menjelajah bandaraya, Darwina singgah duduk di hadapan Tancici Dum, meneguk air mineral, berbual sedikit dengan seorang pemuda. Suara lelaki itu keras, seperti dia sedang mengunyah sesuatu. Kata lelaki itu: "Kamu tahu, Franz Kafka berasal dari kota ini?"
Mungkin Darwina tidak biasa dengan sastera barat. Lelaki itu bercerita satu persatu. Darwina seakan tertawan dengan cerita-cerita pemuda itu. Menurutnya, Franz Kafka boleh tahan terkenal dalam sastera barat, membentangkan karya berunsur, terutamnya eksistensialisme dan absurdisme. Yang ajaib dan pelik-pelik berlaku di dalam cerita tulisannya, sebenarnya menyimpan yang simbolik dan tersembunyi.
Dalam Metamorfosis, novela tulisannya yang paling penting, pada bab pertama, watak utamanya bangun pagi-pagi menyedari dia telah bertukar menjadi kumbang. Selain unik, buku ini memberitahu banyak tentang sastera, dan mengetengahkan cara penyampaian idea dengan lebih menyentuh. Gabriel Garcia Marquez mengatakan, Metamorfosis telah membuka matanya, mengajar bahawa karya tulisan boleh disampaikan dalam bentuk yang berbeza, bukan yang sama sahaja.
Jantung Darwina berdegup lebih kencang, menghidu bau bunga dan konkrit, musim panas dan haba pendingin. Petang baru Darwina habis berjalan, saling menunduk hormat, mengucap selamat dan pulang kembali ke hotel.
Darwina kembali teringat ketika dia menelefon Hajah Kamsiah pagi tadi untuk memberitahu ketibaanya dengan selamat. Tersedu-sedu kedengaran suara Hajah Kamsiah bertanya keadaan dirinya. Hari ini betul dan pasti Mahfuz dan Khaleeda akan diijabkabulkan setelah Mahfuz mengaku kesilapannya dan ingin bertanggungjawab ke atas Khaleeda. Hina. Sungguh hina. Hati Darwina terasa benci. Lelaki yang bakal dijadikan suami berlaku hina dibelakangnya.
"Mama pergilah majlis tu nanti. Wiwi okay je ma. Jangan kerana Wiwi, hubungan mama dengan Mak Ngah dan Khaleeda jadi tak elok," Sayu saja kedengaran suara Darwina. Di dalam hatinya bergetar Allah saja yang tahu. Di Eropah ini, Darwina menenangkan diri. Dia yakin segalanya akan kembali kepada normal bila masa dia kembali ke Malaysia minggu hadapan.
###
No comments:
Post a Comment