Favorite Past Time

...part 8 pautan hati...

Darwina tersenyum sendiri. Matanya terarah kembali ke pentas yang berada di hadapan mereka. Penceramah telah selesai memberi taklimat terakhirnya. Kelihatan beberapa staff sibuk berbual sesama sendiri. Masing-masing begitu gembira dengan tugasan terakhir mereka di Perlis itu.

"Wina dengan boss macam orang bercinta. Sepanjang tugasan kat sini, langsung tak berenggang," Usik Eida, setiausaha Mahfuz yang berasal dari Perak.

"Ha.. Aa.. Saya langsung tak ada peluang nak bermesra dengan boss," Sampuk Hamka sambil tersenyum nakal. Semua staff hanya tersenyum sesama sendiri. Sedar tentang gurauan Hamka yang sudah mempunyai tiga cahaya mata. Darwina hanya tersenyum sipu.

"OK... OK... Eida minta maaf kalau ada yang terasa. Apa pun hari ini hari akhir kita dekat sini. So, I guess malam ini kita akan ke Langkawi lah kan?" Eida bersuara perlahan sambil mengenyitkan matanya.

"Mendiamkan diri bermakna setuju. Apa pun, Eida harap Wina tak hampakan harapan Eida," Bisik Eida perlahan sambil meninggalkan Darwina bersama staff lain.

Darwina hanya menggelengkan kepalanya. Dia mengeluh perlahan sambil memandang tepat ke wajah Eida. Pertama kali dia mengenali wajah lembut tersebut ketika temujanji dia dengan Mahfuz itulah.

Darwina sebenarnya ingin bersendirian. Sendirian menikmati keindahan laut yang terbentang luas. Matanya terpana pada butiran ombak yang berlari seiring dengan kelajuan feri yang mereka naiki. Indah dan mempesonakan. Air laut kelihatan seperti mutiara kaca yang berkilau. Dia terasa asyik dengan keindahan tersebut. 'Indah alam ciptaan Ilahi.' Bisik hati kecilnya.

"Awak berkarya?" Terasa keseronokan yang baru dikecap sekali lagi terganggu. Dia hanya mendiamkan diri. Seboleh mungkin dia tak mahu diganggu. 'Sejauh itu Datin Laila bercerita dengan Mahfuz?' Detik hati kecilnya. Sebenarnya dia tidak begitu arif dalam bidang penulisan. Cuma berminat membaca novel, cerpen dan puisi. Jika bosan kadang-kala, dia akan mencurah idea yang tersimpan dengan berkarya.

"Tak sangka pula kita akan berjumpa balik. And awak masih sombong seperti 7 tahun lepas," Darwina terlopong memandang Mahfuz. Kali ini kata-kata Mahfuz menarik perhatiannya.

"Awak mesti tak ingat saya kan? Tujuh tahun lepas. Mahfuz... Birthday party... Cousin Khaleeda kan?" Darwina memandang Mahfuz tepat.

"Hey..." Itu saja yang mampu terluah oleh Darwina. Dia benar-benar terkejut.

"Tau... From that day kita jumpa, saya dah tau, Awak jer dah lupa," Mahfuz tersenyum. Darwina kelihatan terlopong. Dia masih belum mampu berkata apa.

"Wah... Kecilnya dunia..." Darwina turut tersenyum puas. Sepanjang berada di Pulau Langkawi, hubungan antara Mahfuz dan Darwina berjalan baik. Dan, sekembalinya ke Kuala Lumpur, hubungan mereka menjadi bertambah erat. Acap kali bertukar SMS dan sering juga berutus e-mel. Entah kenapa Darwina suka sekali berutus e-mel dengan Mahfuz. Darwina suka dengan baris-baris kata gurauan yang Mahfuz berikan. Darwina sering kali bercerita tentang kehidupan hariannya dan hal yang agak peribadi. Masing-masing berasa senang.

Mesyuarat peringkat kedua sekali lagi menemukan mereka. Dan, pada suatu petang yang damai sewaktu bersantai di Tasik Titiwangsa, Mahfuz menyuarakan hasrat hatinya kepada Darwina.

"Wina berhajatkan Fuz?" Lembut suara yang lahir dari bibir yang memberi sanyuman manis tersebut.

"Hajatkan Fuz? Wina tak faham." Dia mengerutkan dahinya meminta kepastian.

"Fuz hajatkan Wina sebagai seorang kawan."

"Kawan? Sekarang pun kita bukan kawan ke?" Dia ketawa kecil, namun hatinya sedikit resah. Entah kenapa dia merasa ada sesuatu yang tersirat dalam kata-kata yang dilontarkan Mahfuz. Dadanya mula berdebar.

"Fuz mahukan Wina sebagai seorang yang istimewa dalam hidup Fuz." Kali ini, dahi Darwina semakin berkerut. Wajahnya berubah. Dadanya semakin berdebar-debar. Dia tidak begitu memahami apa yang Mahfuz maksudkan. Namun, dia mula mengerti sesuatu yang tersurat. Lama dia merenung wajah bersih Mahfuz. Mahfuz menghadiahkan senyuman yang cukup ikhlas. Dia semakin mula belajar mengerti. Semakin cuba memahami.

"Fuz mahu Wina menjadi suri hati Fuz." Bersungguh kata-kata yang lahir dari mulut Mahfuz. Darwina terpana. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Lama dia merenung wajah Mahfuz. Wajah tersebut begitu tenang setenang air di tasik tersebut.

"Fuz berhajat untuk menjadikan Wina yang teristimewa untuk Fuz hadiahkan kepada ibu. Wina jangan salah anggap, Fuz ikhlas dan Fuz tahu hanya Wina yang layak menjadi menantu kepada ibu." Tutur bicara lembut Mahfuz benar-benar membuatkan diri Darwina tersepit. Dia serba salah.

"Fuz..." Nada lembut sayu tersebut benar-benar menyentuh hati kecil Mahfuz.

"Tapi, kenapa Wina, Fuz?" Mata Darwina mula berkaca.

"Wina jangan salah anggap. From the day i met you, Fuz rasakan Wina istimewa. Wina ceria dan riang. Tapi, sinar mata Wina seolah-olah memberitahu sesuatu yang tersembunyi jauh di sudut hati Wina. Wina sunyi dan sepi sebenarnya. Wina seperti merindukan sesuatu. Dan, Fuz cuba untuk meleraikan rindu Wina itu. Fuz tak mahu Wina anggap Fuz ini gelojoh. Fuz ikhlas. Kalau betul caranya tak ada salah dan celanya. Fuz sayangkan Wina. Fuz mahu jadikan Wina yang mutlak buat Fuz. Berkongsi bahagia bersama-sama," Panjang dan lembut teratur bicara Mahfuz. Darwina terkaku untuk seketika. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Dia hanya mampu menangis perlahan.

Darwina menggelengkan kepalanya. Matanya terasa pedih. Bayu petang yang berpuput lembut terasa mendesahkan. Darwina menyeka jernih yang mengalir tanpa disedari.

Bukalah jendela hatimu seluas-luasnya kerana masih ada salam mesra yang bakal menjenguk untuk berlabuh kasih dalam kamar hatimu Darwina. Darwina mengeluh perlahan. Pesanan dari Yasmin tersebut amat diingatinya. Dia amat suka dengan kata-kata tersebut. Kata-kata tersebut seolah-olah memberi satu harapan dan impian dalam meniti usia yang semakin hilang deria remajanya. Dia tak pernah menutup pintu hatinya. Cuma dia gagal untuk melenyapkan kenangan silam.

Terasa benar keindahan cinta pertama yang tidak kesampaian. Dia terima hakikat bahawa insan yang pernah disayanginya kini bukan miliknya lagi. Cuma ada ketikanya dia tidak mampu membendung kerinduan yang datang tanpa diundang. Ataupun dia sebenarnya sengaja mencipta bahagia dengan menghidu nafas kenangan silam. Sengaja membiarkan resah rindu hadir dalam diri sendiri. Sengaja mengharapkan yang pertama itu akan kembali padanya meskipun ia adalah sesuatu yang tidak pasti.

Dia bahagia dengan cara hidupnya. Dalam usia yang semakin meningkat, dia riang ditemani keluarga dan rakan-rakan. Sesekali melibatkan diri berkarya meskipun tidak sehebat mana.

Darwina masih tergamam.

"Fuz tidak pandai bermadah puisi. Tapi, Fuz ikhlas mahukan Wina sebagai yang halal buat Fuz. Tak salah kan?" Darwina terpana. Terasa kehangatan air jernih yang menitis di tangannya. Dia merinth sendiri. Redha.

"Fuz... Jika benar ikhlas hajat Fuz. Datanglah... Jumpa mama dengan papa." Perlahan tapi jelas suara Darwina. Mahfuz angkat muka. Matanya berkaca. Tergamba kegembiraan di situ.

###

No comments:

Post a Comment