Merawat rinduku sendiri
Setelah aku kau lukai
Sedangkan kau tahu
Klik. Lagu yang berkumandang itu tiba-tiba terhenti. Darwina menjenguk dari pintu kamar yang separuh terbuka dan sempat melihat kelibat Amir menuruni tangga. Abang dia yang satu itu, sejak akhir-akhir ini bagaikan mempunyai hobi yang baru. Menutup radio setiap kali lagi itu berkumandang!
Pintu kamar ditutup. Di luar sana semuanya tidak lagi seperti dulu. Dunia pun mungkin sudah tidak lagi berputar pada paksinya. Senda dan tawa Darwina tidak lagi kedengaran di rumah itu. Hanya sunyi dan sepi. Wajah manis Darwina kini sudah bertukar murung. Sinar matanya yang bercahaya dan ceria kini redup dan mendung. Hajah Kamsiah juga kian kurus dan cengkung.
Darwina yang pernah Mahfuz cintai dan sayangi. Darwina yang dijanjikan untuk meniti usia tua bersama-sama. Seperti usikan teman-teman sejawat, kalau mendengar tawa Mahfuz, pasti Darwina sedang bercanda dan kalau terdengar tangis Darwina pasti Mahfuz dilanda duka. 'Masih ingatkah Mahfuz pada jalan kenangan itu?' bisik hati kecil Darwina.
Masihkah Mahfuz ingat pada kasih yang pernah dikongsi bersama? Pada kebahagiaan yang pernah mereka miliki? Rumah yang sering meriah untuk persiapan perkahwinan mereka nanti, kini kosong dan sangat sepi. 'Mereka lebih berduka daripadaku Mahfuz!' bentak hati Darwina. Dan kalaulah Mahfuz tahu kesan keputusannya itu kepada Darwina sekeluarga, kepada rumah ini, kepada dunia di sekeliling mereka. Mereka pasti Mahfuz akan menimbangkan seribu kali, kerana Mahfuz tidak pernah kejam kepada sesiapa pun apalagi Darwina yang pernah Mahfuz cintai. Masihkah Darwina, Mahfuz cintai?
Kalaulah Darwina masih Mahfuz cintai, mengapa semudah itu Mahfuz kuburkan segala janji? Mengapa hanya setelah diabadikan dengan ikatan pertunangan ini, ia tiba-tiba luput dari hati Mahfuz? Apa dosa Darwina kepada Mahfuz? Di mana salah Darwina di mata Mahfuz? Darwina sendiri tidak tahu kerana Mahfuz sendiri tidak sudi memberitahu. Darwina tidak mungkin akan tahu kerana Mahfuz pergi begitu saja. Meninggalkan Darwina tertanya-tanya.
"Wina akan jadi milik Fuz. Fuz janji," kata Mahfuz ketika memandang tetap mata Darwina.
Masih terngiang-ngiang ditelinga Darwina janji Mahfuz. Tapi kenapa kini Mahfuz menghancurkan segalanya? Berpusing-pusing Darwina mencari jawapan. Mengapa senekad itu keputusan Mahfuz?
Patutlah dia cuba mengelak kebelakangan ini. Susah benar mengangkat panggilan. Di ajak berjumpa apatah lagi. Katanya demi kasih dia pada Darwina! Naifnya Darwina kerana kasih padanya! Dan kasih padanyalah yang masih Darwina rasakan. Tiada dendam, tiada benci. Hanya kasih pada Mahfuz yang semakin mendalam. Semakin mendalam.
Pastinya sudah ada perempuan lain menggantikan Darwina di hatinya. Pastinya perempuan itu lebih disayangi sehingga Darwina sanggup Mahfuz lukai dan lupa segala janji. Janji untuk melindungi Darwina hingga ke akhir hayat. Kata Mahfuz, hanya kuasa Tuhan yang mampu memisahkan Darwina dan Mahfuz. Kini hanya setelah tinggal seminggu lagi majlis perkahwinan mereka akan berlangsung, Darwina Mahfuz khianati.
Benarlah kata orang, perempuan tidak mudah keluar daripada perhubungan meskipun ada seribu faktor dalaman yang menolak, tetapi lelaki sanggup, meskipun hanya kerana satu faktor luaran yang menarik! Hanya kerana satu! Pastilah faktor yang satu itu juga yang merampas Mahfuz daripada Darwina. Pastilah kerana perempuan itu. Sepupu dia sendiri, Khaleeda! Dia pastinya perempuan jalang. Kalau dia perempuan baik pastinya hubungan Darwina tidak dia rosakkan. Darwina, sepupu dia sendiri.
Dan malam itu seperti malam-malam sebelumnya, Darwina berdiri lagi di tingkap kamarnya yang terbuka menatang dingin angin malam. Cahaya bulan menyuluh bangku bambu di bawah pohon ceri di sisi rumah dan mata Darwina terpaku di situ. Ia tempat kegemaran Mahfuz kalau sesekali dia datang bertandang ke rumahnya. Mahfuz gemar sekali memetik gitar dan mengalunkan suaranya yang lembut dan romantik di situ. Darwina akan selalu ingat lagu 'Permata' nyanyian Kopratasa yang kini bagaikan fobia untuk Darwina mendengarnya.
Amir bukan saja berubah sikap menutup radio setiap kali lagu itu berkumandang malah lebih jauh lagi telah mencadangkan kepada Hajah Kamsiah agar meroboh saja bangku bambu itu. Darwina tidak akan membenarkannya dan dia tahu Hajah Kamsiah juga tidak mengizinkannya. Semua orang tahu di bangku bambu itu tempat Darwina duduk menunggu Mahfuz setiap hari. Ia bukan saja menjadi tempat Darwina mengubat rindu, malah satu-satunya teman Darwina pada malam hari.
Kuingin kaujadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami
Nyanyian Darwina terhenti tiba-tiba. Mungkinkah lagu itu membawa pesanan Mahfuz untuknya? Mungkinkah sebagai bakal isteri, dia telah gagal memenuhi impian seorang bakal suami? Ah, kalaulah Mahfuz berterus-terang, Darwina berjanji membaiki segala kelemahan. Darwina berjanji menjadi isteri sebagaimana Mahfuz inginkan. Darwina tidak akan meminta lebih daripada yang diberi. Darwina akan menjadi isteri yang membanggakan Mahfuz. Lembut dan patuh. Katakanlah apa saja, segala-gala akan Darwina terima.
Tidakkan Mahfuz ingin kembali? Berpadankah hukuman yang Mahfuz berikan dengan kesalahan kecil yang tidak Darwina sedari? Mahfuz sendiri memanjakan Darwina sehingga Darwina terbiasa begitu. Sehingga Darwina terlupa untuk memberi kerana terlalu banyak menerima.
"Mama, hari ini Wiwi tolong mama memasak," Sergah Darwina pada Hajah Kamsiah yang sedang sibuk di dapur. Terpelanting senduk di tangannya. Darwina ketawa melihat Hajah Kamsiah yang sinar matanya seperti orang ketakutan.
"Mama ajar Wiwi buat sambal sotong, ya?" Hajah Kamsiah angguk.
"Nanti Mahfuz datang, Wiwi masakkan untuk dia. Mahfuz suka sangat sambal sotong mama." Kali ini Hajah Kamsiah mengangkat muka, memandang Darwina dengan sinar matanya yang dalam. Dia seperti menunggu-nunggu untuk mendengar cerita Darwina, tidak ubah seperti anak kecil yang sukar mengerti tetapi cuba memahami.
"Dia dah tak guna nombor tu mama..." Darwina tunduk menahan sebak. Sebenarnya sejak hari itu Darwina menelefon Mahfuz setiap hari. Betapa rindu untuk mendengar suara lembutnya. Hingga semalam hanya pesanan ini yang dia terima, 'Harap maaf, nombor yang anda dail tidak aktif atau berada di luar kawasan. Sila cuba sebentar lagi.'
Darwina mencuba sebentar lagi seperti yang disaran, bukan sekali dua tetapi tidak terhitung oleh jari kalaupun dicampur jari kaki. Kalau dulu hanya setelah dua atau tiga kali deringan, Mahfuz akan menyambutnya dengan riang, dengan penuh kasih sayang. Kini panggilan Darwina bukan saja tidak dijawab malah dia mula menerima pesanan yang berbeza, 'Harap maaf, nombor yang anda dail telah ditamatkan perkhidmatannya.'
Ditamatkan perkhidmatan? Baru semalam Darwina berjanji untuk jadi isteri yang lembut dan patuh, Mahfuz bukan sekadar mematikan telefon genggamnya malah memutus terus talian. 'Ah, matikanlah apa saja, kau tidak mampu mematikan cintaku padamu.' bentak hati Darwina. Keras.
Darwina tekup kedua-dua belah tangan pada mukanya. Dia ingin menjadi kuat dan tabah selalu tetapi dugaan ini terlalu berat. Hajah Kamsiah selalu berkata, Tuhan tidak akan menduga hamba-Nya lebih daripada yang mampu diterima. Tetapi dugaan ini sudah tidak mampu Darwina terima, mengapa Tuhan terus menduga? 'Mengapa mama?'
Dulu Hajah Kamsiah pernah berkata, tiap kesakitan yang Tuhan beri disertai dengan penawarnya. Ketika Darwina yang baru berusia 15 tahun meraung melihat Dania, adiknya tiba-tiba jatuh tidak bergerak lagi. Kata Hajah Kamsiah, Dania diserang sakit kepala dan apabila dia tidak lagi mampu menanggungnya, Dania pitam. Itu penawar daripada Tuhan, supaya Dania tidak lagi merasa kesakitan. Hampir seminggu Dania tidak sedar, Hajah Kamsiah kata Dania sedang koma. Kata Hajah Kamsiah, itu juga penawar daripada Tuhan. Dan sehari selepas itu Darwina diberitahu Dania meninggal dunia kerana penyakit barah otak.
Hajah Kamsiah menangis tetapi tetap memberitahu Darwina yang itu penawar daripada Tuhan. Kata Hajah Kamsiah, dengan kematian itu, berakhirlah penderitaan Dania. Tuhan memberi Dania penawar terakhir supaya barah yang menyerang Dania tidak lagi menyakiti Dania. Selepas itu Darwina tidak menangis lagi mengingati Dania kerana tahu Dania tidak sakit lagi. Tetapi di mana penawar untuk Darwina?
"Mana penawar untuk Wiwi, mama?" Tanya Darwina dalam sedu-sedan yang tidak terkawal. Hajah Kamsiah memeluknya.
"Mengucap Wiwi, mengucap. Ingatkan Allah..."
"Allah yang tak ingatkan Wiwi, mama. Allah lupa memberi Wiwi penawar. Hanya kesakitan saja. Wiwi sakit mama. Wiwi sakit." Darwina menangis dalam pelukan Hajah Kamsiah.
"Astafiruallahalazim..."
Takbir raya pun bergema. Hari ini genap tiga bulan 15 hari Darwina tidak melihat Mahfuz. Semalam, seawal pagi Darwina menunggunya di atas bangku bambu itu. Harapannya masih menggunung tinggi, tidak inginkah Mahfuz kembali? Seharian Darwina berdiri di tingkap kamarnya, mengintai dari balik langsir setiap kereta yang melintasi perkarangan namun Mahfuz tidak juga muncul. Dia tidak juga muncul.
Hari raya kedua. Darwina tentang rancangan Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam untuk menziarahi pusara kerana takut Mahfuz akan datang ketika ketiadaan meraka. Darwina tidak mahu dia menyangka kedatangannya tidak dia harapkan, dan dia akan pergi lagi. Kala itu terjadi, pasti sia-sia doanya semalaman kepada Tuhan supaya mengembalikan Mahfuz kepadanya hari itu. Namun melihat wajah muram Amir dan berbekal janji Hajah Kamsiah untuk ke pusara hanya sekejap, Darwina turut juga dengan langkah terpaksa.
Tangan Amir memegang lengan Darwina tiba-tiba. Dia memeluk Darwina ketika membawa Darwina meinggalkan pusara Dania menuju ke arah pohon kemboja yang sedang lebat berbunga. Darwina menoleh ke arah Hajah Kamsiah, dia sedang bersalaman dengan seorang perempuan gemuk yang dia tidak tahu muncul dari mana. Pastinya kenalan Hajah Kamsiah. Dia melemparkan senyuman yang aneh kepada Darwina dan entah mengapa Darwina merasa enggan membalasnya.
***
'Mahfuz dan Khaleeda berkahwin setelah mereka ditangkap basah.'
Begitulah bait-bait kata Amir yang ketika itu Darwina separuh sedar mendengarnya. Darwina terjaga di rumah ketika hari telah pun bertukar malam. Darwina lihat Haji Hisyam berada di hujung katilnya merenungnya dengan mata yang sembap. Hajah Kamsiah pula berada di sebelah Darwina mengusap dahinya dengan tuala basah.
"Mama, bagikan Wiwi kotak tu..." Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam termangu-mangu, berpandangan sesama sendiri.
"Kotak cincin tunang..." Ulang Darwina perlahan. Dalam enggan Darwina lihat Hajah Kamsiah keluar dari kamarnya dan kembali lagi dengan kotak kecil itu pada tangannya. Darwina membuka kotak itu dengan tangan gementar. Kembali dia mengingati hari itu. Hari terakhir dia melihat Mahfuz. Ia datang bersama-sama beberapa barangan yang lain. Darwina tidak pernah membukanya, kerana bukan kotak itu yang dia harapkan untuk kembali.
Seutas rantai emas dengan loket berlian berbentuk hati Darwina keluarkan dari kotak kecil itu. Di belakang loket itu terukir cantik, 'MahfuzDarwina'. Mahfuz pastinya telah menempah rantai itu lebih awal. Dia tidak sempat mengalungkannya sendiri pada leher Darwina.
"Terima kasih Fuz." Loket itu Darwina kucup. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidupnya, mengajar erti kelembutan dan kasih sayang. Terima kasih atas segala pengorbanan, juga janji yang dimungkiri. Terima kasih juga pada hari-hari yang pernah dikongsi, pada kebahagiaan yang pernah Darwina miliki.
Tangisan Darwina pun tak terbendung lagi mengingati Mahfuz yang dikasihi. Mahfuz yang tidak mampu lagi melindungnya.
"Maafkan Wina, Fuz." Darwina kucup loket itu berkali-kali.
"Wiwi, bawa mengucap, Wiwi." Darwina dengar suara Hajah Kamsiah berbisik di telinganya. Tangan Hajah Kamsiah mengusap rambutnya seperti Darwina remaja dahulu, seperti ketika Dania meninggalkannya.
"Allah tak lupakan Wiwi, mama. Alla berikan Wiwi penawarnya." Loket itu Dariwna kucup lagi.
"Kini Wiwi sudah cukup kuat untuk menerima!"
Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam berpandangan. Tersentuh hati Darwina dengan pengorbanan mereka berdua yang menjaga Darwina selama dia hanyut dalam dunia ciptaannya. Darwina hidup bersandarkan ilusi dan halusinasi dalam mengharapkan Mahfuz kembali. Darwina tabah selalu cuba melindungi dirinya daripada terus dibayangi ingatan bersama Mahfuz. Menutup radio setiap kali lagu kenangan itu berkumandang. Hajah Kamsiah pula bagaikan telah memaku telinga di pintu kamar Darwina sehingga selalu bersedia berada di sisinya setiap kali Darwina tidak dapat mengawal kedukaan.
Hajah Kamsiah dan Haji Hisyam bagaikan tidak percaya yang Darwina kini sudah kembali di alam realiti.
Sesungguhnya Darwina pasrah Mahfuz tidak akan kembali menjadi miliknya lagi. Perlahan-lahan Darwina bangun dari katil menuju ke tingkap kamarnya yang terbuka. Sinaran bulan menyuluh bangku bambu di bawah pohon ceri itu dan Darwina bagaikan dapat melihat Mahfuz memetik gitar dan mendendangkan lagu itu untuknya.
Darwina seka air mata di pipi dan dikalungkan rantai pemberian Mahfuz itu pada lehernya. Darwina akan cuba mengerti. Kerana meskipun Mahfuz telah pergi menjadi milik orang lain, tetapi Darwina bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia pernah hadir untuk Darwina sayangi. Biarlah Mahfuz bersemadi dengan aman di dalam hati Darwina.
###
No comments:
Post a Comment