Favorite Past Time

...part 7 soalnya hati...

Tengah hari itu, Darwina menjamu selera di kafe bersama teman-temannya kecuali Zehra yang menemui clientnya.

Wajah Darwina kelihatan agak sugul, memikirkan pertemuannya dengan Mahfuz selepas makan tengah hari nanti. Biasanya dia akan berurusan sendiri dengan Datin Laila. Tapi hari ini, lain pulak permintaan Datin Laila. Ya, dia akan berurusan dengan anak Datin Laila pulak yang menurut cerita rakan sepejabatnya baru balik dari Aussie.

Dia amat berharap berurusan dengan Mahfuz semudah dia berurusan dengan Datin Laila jugak.

"Wah, rugi Zehra tak ada. Look who is serving." Miasara tertawa kecil.

Darwina memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Miasara. Khalil sedang menyendukkan lauk untuk pelanggan yang sedang berbaris.

"He is so cool," Ujar Miasara sambil dibalas oleh Anis dengan cubitan kecil.

Darwina hanya memandang sahaja rentak gaya Khalil yang tak ubah seperti pekerja-pekerja kafe yang lain. Lelaki itu langsung tidak mempedulikan orang yang sedang mentertawakannya.

'Mengapa dia ditertawakan?' Darwina sendiri tidak mengerti. Tiada apa yang pelik bekerja sebagai pelayan baginya.

"Aku tak faham langsung kenapa dia nak bersusah payah macam ni. Ayah dia kan shareholder Melati Holdings ni," Anis cuba membangkitkan persoalan yang mungkin di fikiran kebanyakan yang mengenali Khalil.

"Shareholder? Wow, now I'm impressed. Cop, tak! Tak impressed langsung sebab semalam aku tegur dia buat dek jer." Miasara mencebik.

Mereka menghulurkan pinggan pada Khalil apabila sampai giliran mereka. Khalil hanya memandang, tanda yang dia meminta lauk yang mereka mahu.

"Laksa Johor. Letak semua to all three of us," pinta Miasara.

Khalil hanya diam membisu sambil mengisi pinggan-pinggan yang dipinta Miasara. Mi, kuah, timun, sambal belacan, limau kasturi, taugeh...

"Ah, tak mau. Tak mau taugeh," Ujar Darwina apabila sesudip taugeh diletakkan ke dalam pinggannya.

"Dah letak, ambil ajelah," Ujar Khalil bernada kasar.

Darwina agak terkejut dengan reaksi yang diterimanya dari Khalil.

"Dia tak nak taugeh, ambillah semula!" Anis cuba melawan.

Khalil mengeluh bengang.

"Lain kali cakaplah awal-awal. Menyusahkan betullah," Ujar Khalil merampas kembali pinggan dari tangan Darwina dan mengeluarkan taugeh dengan kasar.

Pingggan itu kemudiannya dikembalikan semula dengan cara yang sama menyebabkan kuah laksa itu hampir terpercik ke pakaian Darwina. Mujur Darwina berundur sedikit ke belakang, tetapi malangnya sedikit dari percikan itu terkena baju kurung Miasara.

"Hoi, gila ke?" Miasara mendengus geram sambil membersihkan kuah yang tumpah di bajunya.

Khalil hanya diam menghulur tisu.

"Kau ni psiko ke? Ini sutera Korea tahu tak? Susah nak cuci. Hantu betullah jantan ni." Miasara menyumpah-nyumpah.

"Lain kali pergi kerja pakai baju kurung biasa dahlah. Ini tempat kerja, bukan kenduri kahwin." Khalil membalas kata-kata Miasara.

Merah padam muka Miasara dibuatnya.

"Kau! Pergi sekolah balik belajar beradab dengan orang and stop acting like an idiot di kafe ni. Salah dia sendiri, nak marah-marah orang lain pulak!" Anis pula masuk campur dalam pertengkaran itu.

Darwina mengeluh. Lantas meminta kedua-dua temannya agar ke meja mereka.

"Apahal ni Wina?" Soal Miasara masih tak puas hati,

Darwina kembali ke kaunter dan mengambil makanan mereka yang tertinggal. Sempat dia meminta dulang dari Khalil supaya dapat mengangkat ketiga-tiga pinggan sekali. Khalil menghulurkan sebuah dulang kecil.

"Sorry, saya menyusahkan awak. Tapi, awak tak sepatutnya bergaduh dengan kawan-kawan saya. Marah saya aje cukuplah," Ujar Darwina cuba berdamai.

Khalil sekadar merenung wajah Darwina tanpa berkata apa-apa. Setelah Darwina berpaling untuk menghantar makanan itu, dia terdengar suara Khalil mengomel di belakang.

"Perempuan, menyusahkan!" Dengus Khalil menahan geram.

Darwina menarik nafas panjang, cuba bersabar. Dia menghampiri Anis dan Maisara yang masing-masing sedang merungut tentang perangai Khalil bersama dulang berisi tiga pinggan laksa di tangan.

Miasara dan Anis hanya memandang Darwina ketika dia meletakkan pinggan-pinggan berisi laksa di atas meja tanpa mempedulikan pandangan yang dilemparkan kedua-dua rakannya itu. Setelah Darwina melabuhkan punggung, Miasara mula bersuara.

"Kenapa buat macam tu tadi?" Tanya Miasara, masih mengelap-ngelap bajunya dengan tisu.

"Kau orang pun tahu perangai dia tu macam mana kan. Kenapa nak bertengkar lagi dengan si Khalil tu. Daripada layan orang gila, baik buat bodoh aje. Lagipun, aku yang patut mintak maaf sebab aku yang jadi penyebab baju kau tu kotor." Darwina duduk menghadap kedua-dua temannya itu.

"It's okay. Aku tak kisah sangat sebenarnya. Cuma, yalah, orang cari pasal dengan kita, mestilah nak lawan balik," Ujar Miasara. Suaranya kembali lembut.

Mereka diam seketika. Melihatkan tiada apa yang patut diperbualkan, Darwina mula menjamah laksanya.

"Hmm... Bila appointment kau dengan anak Datin Laila tu?" Tanya Anis tiba-tiba.
Darwina yang baru hendak menjamah suapan yang kedua terhenti dan memandang Anis, rakanya sejak dari universiti hinggalah menjadi rakan sepejabat. Anis mengangkat kening, seperti selalu yang dilakukannya bila meminta agar soalannya dijawab.

"Lepas ni," Jawab Darwina pendek, seperti berasa agak terganggu dengan soalan itu.

Dia kalau boleh, mahu berurusan dengan Datin Laila sendiri. Risau berurusan dengan Mahfuz itu tidak semudah berurusan dengan Datin Laila sendiri. Kalau dengan anak perempuan Datin Laila, Lia dia tidak begitu bimbang kerana dia mengenali Lia Amalina selama mana dia mengenali Datin Laila tetapi Lia mempunyai urusan lain di Jepun.

"Well, good luck. Aku harap kau okay je berusan dengan anak Datin Laila tu," Ujar Anis sebelum menelan laksa yang dikunyahnya.

Darwina mengukir senyum mengucap terima kasih, walaupun hanya Allah sahaja yang tahu betapa gusarnya dia ketika itu.
***
Pintu bilik Mahfuz diketuk. Setelah mendengar arahan 'masuk' dari dalam, Eida segera memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik yang berhawa dingin itu diikuti oleh Darwina.

"Bos, cik Darwina..." Ringkas saja pengenalan setiausaha Mahfuz itu lalu berlalu pergi setelah Mahfuz mengangguk tanda faham.

Mahfuz Fikri, eksekutif baru yang bakal menggantikan tempat Datin Laila sedang sibuk menaip sesuatu di komputer ribanya, memandang sekilas pada Darwina dan mengisyaratkan agar Darwina duduk di kerusi yang disediakan. Darwina sedikit mengerutkan dahi. Wajah Mahfuz seperti pernah dilihatnya. Dia cuba mengingat namun gagal.

Darwina akur dengan arahan itu lalu mengambil tempat di depan Mahfuz.

Dia sempat menjenguk pada meja Mahfuz yang beralaskan cermin. Kelihatan bingkai gambar terpamer gambar seorang lelaki yang agak berusia.

Malah di dinding bilik itu, ada beberapa lagi bingkai gamba yang lebih besar. Juga wajah orang yang sama.

"My late abah, Allahyarham Datuk Hisyam Aziz," Ujar Mahfuz tanpa ditanya sambil melirik sedikit pada Darwina dan tersenyum. Darwina hanya diam. Datin Laila tak pernah pula membangkitkan perihal arwah suaminya itu sepanjang perkenalan mereka. Lagipun ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke Permata Holdings ini. Biasanya Datin Laila akan datang sendiri ke Melati Holdings. Datin Laila lebih senang begitu.

Darwina nampak sedikit terkejut.

"Nama arwah abah encik, Hisyam?" Soalnya.

"Ya, sama seperti nama ayah awak, bukan? Saya sayangkan dia, tapi nak buat macam mana, dah takdir. Tuhan lebih sayangkan dia," Ujar Mahfuz masih tersenyum. Menanggalkan cermin mata dan mengurut-urut pangkal hidungnya, cuba memberi fokus pada hal sebenar kedatangan Darwina.

"Well, macam kata orang, everything happens for a reason." 


Darwina kembali menyepi, menanti kata-kata dari Mahfuz. Dia mula berasa kesejukan bilik itu menyucuk tubuhnya. Dia menantikan reaksi, tetapi Mahfuz cuma tersenyum.

"Baiklah, kembali kepada hal sebenar..." Mahfuz mula menyarung semula cermin mata dan mengelap hidungnya dengan tisu sebelum dia benar-benar memberi perhatian kepada Darwina yang berpeluk tubuh kesejukan di depannya.
***
Darwina memicit-micit kepalanya yang pening. Dia mula rasa loya. Kepenatan seharian berurusan ke hulu ke hilir jelas tertulis di wajahnya. Hampir saja terasa mahu pitam apabila kereta dari bertentangan yang seperti hilang kawalan melanggar kereta di hadapan. Nasib baik Darwina sempat membrek lalu berhenti di bahu jalan. Jelas di mata Darwina kereta yang dipandu seorang wanita itu terpusing beberapa kali sebelum merempuh tiang lampu.

Darwina bergegas keluar dari kereta. Dia cuba memeriksa keadaan wanita itu. Ternyata wanita itu separuh sedar.

"Cik okay ke tak?" Tanya Darwina cemas. Wanita itu hanya mengangguk. Kelihatan darah banyak mengalir di dahi wanita itu. Dengan kudrat yang tinggal, Darwina cuba mengeluarkan wanita itu dari keretanya yang sudah remuk teruk. Darwina mengheret wanita itu ke kawasan yang berumput. Jalan raya kelihatan lenggang saja. Waktu begini memang jalan itu akan sunyi saja tanpa kereta yang lalu lalang. Darwina hilang arah. Dia duduk di sisi wanita itu.

"Cik... Family saya... Pesan dekat adik saya... Saya sayang kat dia..." Tersekat-sekat saja suara wanita itu. Darwina yang masih hilang arah, terus termanggu sebelum beberapa saat kemudian, kereta wanita tersebut meletup dan terbakar. Darwina rebah. Antara penat dan cemas, penglihatan Darwina mula kabur. Terus gelap.

###



No comments:

Post a Comment