"Kenapa mamat tu? Bagi cincin berlian ni kenapa? Dia hilang akal apa?" Cebik Darwina sewaktu Hajah Kamsiah masuk ke bilik untuk menyerahkan kotal kecil itu.
"Orang tu cuma hantar cincin bertanya..."
"Ah, mengada-ngada. Kalau setakat nak bertanya, tanyalah sendiri... Macam tak ada mulut! Satu pejabat pulak tu... Selama ni pandai cari telefon kacau orang siang malam, ni tak reti pulak!" Rengus Darwina yang memang benci benar kalau nama Faris disebut.
"Jangan sombong sangat Wiwi... Perempuan makin lama makin tua, tak cantik mana lah muka tu... Lagipun dia datang cara beradat, takkan mama nak halau pulak?"
"Esok mama telefon dia... Pulangkan balik cincin tu!" Darwina tetap tidak berganjak dengan hatinya yang keras. Hajah Kamsiah tergamam dan memandang Darwina dengan mata yang terbeliak. Darwina selamba pura-pura tidak perasan mamanya sudah merah muka.
"Mama mintak tempoh seminggu... Nanti apa kata dia orang. Belum sehari kamu dah beri kata putus..." Jerkah Hajah Kamsiah. Suaranya semakin cemas. Dia tahu benar kerenah Darwina. Keras kepalanya memang sukar diubah.
"Lantak dia oranglah nak kata apa pun! Siapa suruh gatal sangat hantar cincin tak berbincang dengan Wiwi?"
Nafas Hajah Kamsiah turun naik menahan sabar. Dia tidak mampu berkata apa-apa Direnungnya wajah Darwina seperti singa lapar mahu menerkam mangsa. Darwina leka membetulkan selendangnya. Kemarahan mamanya bagai tidak berbekas di hati.
"Ni kemas-kemas nak ke manas?"
"Jalan-jalan lah..." Jawab Darwina.
"Budak bertuah! Kita pulak nak pecah kepala fikirkan masalah dia." Gerutu Hajah Kamsiah.
"Bukan Wiwi yang cari masalah. Kalau mama nak leter, patutnya mama telefon Faris tu, leter dan beri ceramah pada dia tu... Cakap dengan dia, lain kali jangan main terjah aje!" Belum sempat Hajah Kamsiah berkata panjang, Darwina sudah memotong. Ikutkan hati yang panas, mahu saja mulut celupar Darwina dicili-cilikannya. Tidak mahu pertengkaran menjadi lebih panjang, Hajah Kamsiah segera meninggalkan anak gadisnya itu sendirian di dalam bilik.
Tanpa menghiraukan langit yang sudah menurunkan langsir malam, Darwina terus memandu. Biarpun beberapa kali papanya memujuk jangan keluar, dia tetap berkeras. Sedikit pun hidangan makan malam tidak dijamahnya. Hajah Kamsiah sendiri pura-pura tidak berkisah tentang Darwina.
"Biarkan dia! Lantak dialah nak keluar dengan perut kosong! Budak bertuah tu memang kepala batu! Susah nak diajak berunding." Rungut Hajah Kamsiah yang hanya mengintai Darwina masuk ke dalam kereta di balik langsir.
"Kepala batu tu ikut awak..." Cemuh suaminya pula. Hajah Kamsiah spontan menarik muka panjang. 'Huh, anak dengan papa sama aje! Mesti dimenangkan ananknya jugak!' Gerutunya di dalam hati.
Sepanjang memandu malam itu, Darwina bagai melalui laluan yang penuh kerikil. Ke mana arah tujunya, dia sendiri pun tidak pasti. Resah-gelisah dan fikiran yang bersimpang-siur membuat dia memandu dengan cukup laju. Malam baru berpucuk di langit. Bintang yang menjadi kerongsang malam menjadikan padang langit manis dan tenang direnung pencintanya.
***
Sampai di depan pagar rumah Darwina tidak terus masuk ke dalam. Dia tersandar di kereta memikirkan masalah yang mula bersarang di fikiran. Semakin difikir semakin sendat kepalanya.
Telefon, tidak... Telefon, tidak... Telefon...
Berbolak balik hatinya mahu mencapai telefon di dalam tas tangan. Sekejap begitu sekejap begini. Darwina berkali-kali memujuk hatinya. Kalau mahu selesaikan masalah, dia harus berani berdepan dan bersuara pada Faris. Kalau diam, nanti dianggap setuju dan suka! Oh, tidak...
Darwina pantas mencapai telefon.
Lama dia menunggu baru telefon diangkat. Darwina nekad kalau perlu dia akan meredah malam dan menjerit nama Faris di pagar rumah. Darwina sempat membuat dua kali tawaf di depan rumah Faris. Memang ada kereta Faris di hadapan rumahnya itu. Ikutkan hati tak ingin dia pandang rumah Faris, biarpun setakat bumbung rumah. Namun Darwina tahu dia perlu selesaikan masalah yang satu ini. Lagi lama dibiarkan semakin bernanah hatinya.
"Helo..."
"Helo..."
"Hai, baby... Nak cakap dengan siapa?" Suara garau itu cukup mengejutkan Darwina.
"Hei, saya ni... Jangan nak main-mainlah!"
"Eh, siapa nak main-main pulak..." Suara itu seperti meneran. Darwina menjadi gamam sesaat dua.
"Helo... Awak dengar tak..."
"Arrghh... Arrgghh... Emm... Dengar... Dengar... Awak cakap aje..." Suara itu bunyi meneran lagi. Diikuti dengan bunyi latar ada benda keras dan berat menjunam jatuh ke dalam lubang. Kemudian ada bunyi percikan air. Seterusnya bunyi orang mengepam air.
"Hei... Cakaplah..." Suara garau itu mengejutkan Darwina. Tiba-tiba saja Darwina berasa kembang tekak. Ya ALLAH, keji dan jijik sungguh perangai! Di dalam tandas rupa-rupanya.
"Helo..."
Darwina hilang selera untuk menelefon. Dia mematikan talian. 'Bodoh! Bahalul! Kalau dalam tandas buat apa jawab telefon'
"Darwina... Wina..." Telefon berbunyi dan dijawabnya. Namun mulutnya berat menjawab. Cuma terkumat-kamit menyumpah seranah di dalam hati.
"Hei, lain kali kalau dalam jamban jangan jawab telefon..."
"Wina tadi tu..."
"Awak ni kan... Memang bebal ye... Tak faham saya tak suka... Ikutkan hati memang cincin awak bagi tu saya nak campak dalam lubang jamban... Rupanya perangai awak pun macam papan jamban buruk!" Darwina masih lagi di dalam kereta. Puas hatinya dapat melepaskan geram yang terbuku.
"Wina dengar sini..."
"Hah, nak dengar awak buat apa pulak... Awak jangan nak jadi badut bodohlah..."
"Wina tadi tu bukan saya... Adik saya, si Farhan yang jawab telefon. Handphone saya tertinggal dalam tandas. Sorrylah... Kalau awak tak suka..."
"Banyaklah alasan awak..."
"Betul... Awak nak suruh saya buat apa? Awak nak suruh saya melutut mintak maaf? Awak kat mana? Kalau kat rumah sekarang jugak saya datang..."
"Hei, jangan nak gila... Jangan nak buat drama pulak malam-malam ni..." Darwina sebenarnya cemas. Dia tahu Faris memang selalu buat kejutan. Ada-ada saja kerja gila yang dibuatnya.
Darwina tahu dia mesti bertegas. Malam ini semuanya mesti selesai. Kata-katanya perlu jelas. Kalau Faris tidak faham hatinya, seribu kali pun dia sanggup mengulang semula kata-katanya itu.
###
No comments:
Post a Comment